Bendera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Ibu Pejabat PPBM Wilayah Persekutuan, Sentul Pasar, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 JANUARI 2020

MELAKA – Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diramal menerima nasib sama seperti Johor dan Negeri Sembilan apabila dijangka kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 ini.

Bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Dr. Mohd Yadzil Yaakub berkata, Bersatu kini tidak mempunyai kekuatan di Melaka kerana ramai ahlinya menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Justeru beliau tidak menganggap kewujudan parti Bersatu akan memberi ancaman pada PRN Melaka.

“Ya nasib Bersatu di Melaka akan sama seperti di Johor dan Negeri Sembilan. Jika ada pun ahli di Melaka ini hanyalah serpihan. Mereka wujud tetapi kekuatan mereka semakin berkurangan.

“Jadi saya tak nampak ia menjadi gangguan yang besar sebab majoritinya sudah bersama kami. Nasib Bersatu di Melaka akan sama seperti di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jasin Height, Jasin di sini hari ini.

Mohd Yadzil yang merupakan Timbalan Penyelaras Parti Wawasan Negara (Wawasan) negeri Melaka berkata, mengikut data yang diperoleh, semakin ramai ahli Bersatu meninggalkan parti itu dan menyertai Wawasan.

Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban itu menjelaskan, Bersatu hanya bersendirian apabila tidak lagi bersama Perikatan Nasional (PN).

“Dalam politik sekarang, sesebuah parti itu tidak boleh berdiri sendiri, dia kena ada satu gabungan untuk membentuk satu kekuatan,” ujarnya.

Maka tidak hairanlah katanya, Bersatu terpaksa berbincang dengan Pakaian Harapan (PH) bagi membentuk gabungan.

“Kalau kita tengok kenyataan daripada Bersatu akhir-akhir ini mereka sudah berbincang dengan PH sebab mereka tahu kalau bersendirian tidak akan menguntungkan mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here