Video tular kemalangan melibatkan beberapa motosikal terbabas.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan teknikal secara menyeluruh selepas beberapa penunggang motosikal dilaporkan terbabas di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan arah Klang ketika hujan, semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, siasatan itu antaranya melibatkan tahap rintangan gelincir permukaan ketika basah, keadaan turapan, kemungkinan pencemaran seperti minyak atau diesel, kualiti pelaksanaan kerja serta faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, bahagian permukaan berwarna di laluan berkenaan direka dan dilaksanakan sebagai kemasan antigelincir mengikut spesifikasi kerja yang ditetapkan.

“Namun begitu, ketika kejadian, hujan renyai-renyai dan keadaan permukaan jalan dilaporkan sedikit basah. Kita juga dimaklumkan bahawa beberapa penunggang motosikal telah terbabas di lokasi yang sama.

“Kita tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal mengenai punca kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nanta, JKR telah mengambil tindakan awal dengan menampal sementara kerosakan turapan serta memasang papan tanda ‘kurangkan laju’ di lokasi berkenaan.

Katanya, ujian skid dalam keadaan kering dan basah turut dijalankan bagi mengesahkan prestasi sebenar permukaan jalan tersebut.

“Susulan itu, kerja penambahbaikan termasuk ‘mill and pave‘ serta pemasangan papan tanda halaju panduan 40 kilometer sejam (km/j) akan dilaksanakan,” tambahnya.

Nanta turut merakamkan simpati kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam insiden berkenaan dan menegaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil pengajaran daripada kejadian itu dan tindakan pembetulan sewajarnya akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kelemahan pada bahan, pelaksanaan kerja, reka bentuk atau aspek penyelenggaraan.

“Apa yang penting, kita akan mengambil pengajaran daripada kejadian ini.

“Keselamatan pengguna, khususnya penunggang motosikal yang menggunakan laluan ini setiap hari, mesti diberi keutamaan,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial mengenai rakaman beberapa penunggang motosikal didakwa terjatuh ketika melalui laluan berwarna hijau yang basah di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan.

Video berdurasi 42 saat yang dikongsikan menerusi Threads itu memaparkan beberapa motosikal bergelimpangan di atas laluan berkenaan, manakala beberapa penunggang dilihat berada di tepi jalan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here