KUANTAN – Padah pelihara ayam hutan dan burung serindit sebagai hobi, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Teris, Lanchang, Temerloh semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan anggota PGA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira 12 tengahari.
“Pasukan penguatkuasa menemukan 10 ekor ayam hutan dan empat ekor burung jenis Loriculus Galgulus ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan luar rumah berkenaan.
“Bagaimanapun, lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan dan telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 60 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit memperoleh baka ayam hutan itu di belukar kampung tersebut manakala burung berkenaan pula ditangkap di ladang kelapa sawit menggunakan jaring.
Kesemua haiwan liar terbabit katanya telah dipelihara sejak kira-kira setahun yang lalu sebagai hobi dan perhiasan.
“Justeru, kesemua ayam hutan yang dianggarkan bernilai RM15,000 dan burung Loriculus Galgulus dianggar bernilai RM900 telah dirampas selain 14 buah sangkar bernilai RM1,400,” katanya lagi.
Ahmad Radzi memaklumkan kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Pahang untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette
















