GEORGE TOWN – Usaha meningkatkan pendapatan rakyat menjadi antara penekanan Kementerian Ekonomi dalam penyediaan Belanjawan 2027.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi yang baik ketika ini perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih berkualiti serta pendapatan lebih baik untuk rakyat Malaysia.
Katanya, perkara itu turut memerlukan syarikat tempatan meningkatkan kedudukan dalam rantaian bekalan dan ekosistem industri.
“Sudah sampai masanya perbincangan ataupun diskusi berkaitan pendapatan ataupun gaji rakyat kebanyakannya terus diletakkan sebagai keutamaan.
“Jadi, memang menjadi harapan agar dalam belanjawan ini, kita ada keupayaan untuk menyatakan komitmen dari segi bagaimana kedudukan gaji untuk rakyat Malaysia ini kita dapat semak ataupun perbaiki lagi kedudukannya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis KL20 Penang 2026 di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Pada majlis sama, Akmal Nasrullah mengumumkan peruntukan RM25 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi penubuhan National Automation, Testing and Equipment (ATE) Campus di Batu Kawan.
Mengulas pertumbuhan ekonomi negara, beliau berkata, prestasi beberapa industri serta secara agregat pada tahun ini adalah menggalakkan meskipun negara berdepan ketidaktentuan geopolitik.
Katanya, momentum berkenaan perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh struktur ekonomi negara serta memastikan manfaat pertumbuhan dapat dirasai rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Ekonomi turut memberi tumpuan kepada pembangunan industri high-growth high-value (HGHV) menerusi Belanjawan 2027.
“Tumpuan itu bagi meningkatkan peranan syarikat Malaysia supaya tidak hanya berada dalam sektor pembuatan, sebaliknya bergerak ke kedudukan yang mempunyai nilai lebih tinggi dalam rantaian bekalan.
“Pendekatan itu penting bagi memastikan pertumbuhan syarikat tempatan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















