TANJONG MALIM – Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu menguasai kecerdasan buatan (AI), data dan teknologi digital bagi membawa mereka lebih jauh dalam dunia pekerjaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata penguasaan itu juga, perlu disertai kebolehan menyelesaikan masalah, berkomunikasi dan membuat pertimbangan beretika.
“Kita mahu graduan tahu menggunakan teknologi dengan berkesan, tetapi masih beradab dan bertanggungjawab,” katanya berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah Tahun 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata politeknik dan kolej komuniti (PolyCC) juga mesti memperkukuh inovasi gunaan bersama-sama industri, dengan projek yang berpotensi diuji dalam keadaan sebenar ditambah baik dan dibawa ke pasaran.
“Contohnya, sistem pengairan pintar yang dibangunkan pelajar, boleh diuji bersama-sama petani untuk mengurangkan pembaziran air dan memudahkan kerja mereka. Di sinilah institusi dan industri perlu menyediakan bimbingan serta laluan pengkomersialan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata PolyCC juga perlu terus memperkukuh pembelajaran fleksibel dan sepanjang hayat, serta mengiktiraf pengalaman supaya individu bekerja yang mempunyai tanggungan keluarga turut berpeluang meningkatkan kemahiran.
Beliau berkata langkah itu juga, membuka peluang untuk lebih ramai graduan menguasai kemahiran sehingga mampu membina perniagaan sendiri.
“Lihat Noor Azree Aiman, graduan Kolej Komuniti Ampang yang mengasaskan ASZR Legacy dalam bidang pembaikan telefon. Berbekalkan kemahiran dan bimbingan keusahawanan, beliau berjaya mengembangkan perniagaan, dengan membuka dua lagi cawangan serta menyediakan pekerjaan kepada belia tempatan,” katanya.
Majlis konvokesyen yang bermula hari ini hingga 1 Okt itu menghimpunkan 6,862 graduan PolyCC Zon Tengah dengan sidang pertama melibatkan Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) serta graduan Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRTVC). – BERNAMA
















