TAWAU – Dua penjawat awam Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Lahad Datu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan membuat tuntutan palsu elaun tugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana bernilai RM29,440, serta bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 dan 2023.
Mohamad Ihsan Said, 42, yang berdepan tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu manakala Radzmil Saadan, 38, berhadapan tiga pertuduhan bersubahat melakukan tuntutan palsu, membuat pengakuan tidak bersalah itu, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Mohamad Ihsan didakwa mengemukakan tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana semasa Monsun Timur Laut yang mengandungi butir matan palsu, iaitu jumlah jam bertugas pada borang tuntutan melebihi daripada jumlah jam bertugas yang dilaksanakan pada ketika itu.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat RELA Sabah di Kota Kinabalu pada November dan Disember 2022 serta Januari 2023, dengan nilai keseluruhan tuntutan RM29,440 dan didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta sama.
Sementara itu, Radzmil yang menyemak borang-borang tuntutan elaun penugasan rondaan berkenaan, dituduh bersubahat dengan Mohamad Ihsan dan kesalahan itu dilakukan di Pejabat RELA Lahad Datu pada tempoh sama dan didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) ASPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan Mohamad Ihsan dan Radzmil boleh di penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Sabah Norsham Saharom manakala kedua-dua lelaki itu diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab.
Hakim Andi Razalijaya A Dadi menetapkan 23 Okt depan sebagai sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh selain jaminan ditetapkan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta diarahkan melapor diri ke Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan tidak menganggu saksi pendakwaan. – BERNAMA
















