Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Rundingan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan parti yang berminat untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh bermula seawal malam ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, proses itu boleh dimulakan pada bila-bila masa selepas beliau menerima panggilan daripada Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Ditanya adakah kemungkinan rundingan dimulakan minggu depan, Pengerusi BN Melaka itu berkata, ia boleh berlaku lebih awal tanpa menolak kemungkinan malam ini.

“Jangkaan mula rundingan apabila nanti saya menerima panggilan daripada WTC (Ibu Pejabat UMNO)

“Pasti ada. Tak usah minggu depan, mungkin esok, mungkin malam ini, saya tak tahu. Rundingan tetap pasti ada,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pesara Kerajaan Negeri Melaka, di Banda Hilir, di sini hari ini.

 

Ab Rauf menyampaikan sijil penghargaan kepada pesara pada Majlis Penghargaan Pesara Kerajaan Negeri Melaka, di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat hari ini belum ada sebarang rundingan rasmi dilakukan.

“Kata orang Melaka, ‘padi dah masak, tempua bersarang rendah’, jadi sudah pastinya akan ada rundingan yang akan berlaku selepas ini dan saya akan memaklumkan dan memberikan kemas kini dari masa ke semasa.

“Setakat hari ini belum lagi. Saya memang tak berminat kalau nak berunding di platform media sosial sebab akan memberikan pelbagai persepsi negatif,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf menegaskan kedudukan 21 kerusi yang menjadi asas BN dalam rundingan akan datang kekal menjadi pendirian parti itu.

“Itu asas rundingan kita. Maksudnya hak kita, hak kita, yang lain kita boleh berunding. Itu asas,” katanya.

Menurut beliau, BN belum mengetahui hasrat atau cadangan pihak lain kerana belum duduk di meja rundingan.

“Belum berada (di) rundingan, kita tak tahu lagi apa harapan, hasrat mereka, cadangan mereka, belum lagi duduk di meja rundingan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here