KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah menjalankan siasatan teknikal secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca beberapa penunggang motosikal terbabas di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan arah Klang, semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menzahirkan simpati kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam insiden berkenaan, menegaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, bahagian permukaan berwarna di laluan motosikal berkenaan direka dan dilaksanakan sebagai kemasan antigelincir mengikut spesifikasi kerja yang ditetapkan.
Bagaimanapun, ketika kejadian berlaku, hujan renyai-renyai menyebabkan permukaan jalan dilaporkan sedikit basah.
“Namun begitu, kita tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal mengenai punca kejadian.
“Antara perkara yang sedang diteliti termasuk tahap rintangan gelincir permukaan ketika basah, keadaan turapan, kemungkinan terdapat pencemaran permukaan seperti minyak atau diesel, kualiti pelaksanaan kerja serta faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kejadian tersebut,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya, JKR telah mengambil beberapa tindakan awal di lokasi berkenaan bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Antaranya, kerosakan turapan telah ditampal sementara, manakala papan tanda ‘Kurangkan Laju’ dipasang sebagai langkah segera.
Selain itu, ujian skid dalam keadaan kering dan basah turut dijalankan bagi mengesahkan prestasi sebenar permukaan berkenaan, tambah beliau.
Susulan hasil pemeriksaan, kerja penambahbaikan termasuk kaedah mill and pave serta pemasangan papan tanda halaju panduan 40 kilometer sejam akan dilaksanakan.
Alexander berkata, kejadian tersebut akan dijadikan pengajaran bagi memastikan aspek keselamatan di laluan berkenaan terus dipertingkatkan.
“Sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kelemahan pada bahan, pelaksanaan kerja, reka bentuk atau aspek penyelenggaraan, kita akan mengambil tindakan pembetulan yang sewajarnya.
“Keselamatan pengguna, khususnya penunggang motosikal yang menggunakan laluan ini setiap hari, mesti diberi keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















