JOHOR BAHRU – Pemimpin politik dari luar yang tiada kaitan diseru tidak mencampuri atau mempengaruhi proses pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Mohd Ridhwan Othman menegaskan, urusan tersebut perlu dilaksanakan sepenuhnya di bawah bidang kuasa Undang Yang Empat.
Jelasnya, institusi tersebut harus diberikan ruang untuk melaksanakan amanah secara bebas, tertib, berintegriti dan tanpa tekanan politik terutama ‘campur tangan’ orang luar.
“Pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah dilaksanakan sepenuhnya berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, adat serta perlembagaan Negeri Sembilan.
“Dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan, kuasa memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar terletak pada Undang Yang Empat. Mereka merupakan institusi yang diberi amanah untuk menentukan pelantikan tersebut, bukannya Menteri Besar atau barisan Exco,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, sebarang kenyataan atau tindakan yang menggambarkan bahawa pelantikan Yang di-Pertuan Besar boleh ditentukan oleh Menteri Besar atau Exco adalah tidak tepat sama sekali.
Malah katanya, berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam berhubung struktur Perlembagaan serta adat pemerintahan Negeri Sembilan.
“Kami juga menyeru rakyat serta pihak media mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber berautoriti dan tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian negeri serta kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.
Perimau percaya bahawa isu itu penting untuk diberi perhatian kerana menyentuh keluhuran Perlembagaan, kesinambungan adat pemerintahan Negeri Sembilan.
Tambahnya, ini termasuk prinsip bahawa setiap institusi mesti berfungsi mengikut bidang kuasa yang telah ditetapkan.
Perimau akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip tadbir urus yang berteraskan undang-undang dan adat.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan.
Terdahulu Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta. MalaysiaGazette
















