KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan mempunyai kuasa membatalkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tanpa nasihat Menteri Besar kini menjadi antara isu utama susulan pembatalan pelantikan 10 Exco negeri itu.

Seorang peguam, Mohamad Fakhzan Md Noor berkata, Warta N.S. P.U. 18 bertarikh 24 September 2026 menyatakan 10 Exco yang mengangkat sumpah pada 7 Ogos 2026 telah melanggar ikrar taat setia.

Atas alasan itu, YDPB menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan mereka, dinyatakan berkuat kuasa pada 20 September 2026.

Hujahnya, Warta itu bergantung kepada Perkara 38(5) UUTKNS yang mana peruntukan tersebut menyatakan seseorang Exco selain MB memegang jawatan “at the Ruler’s pleasure” — iaitu selama diperkenankan Ruler.

Tetapi Perkara 38(5) tidak berhenti di situ kerana klausa yang sama turut menyebut bahawa pelantikan seseorang Exco boleh dibatalkan oleh Ruler “on the advice of the Menteri Besar”.

Oleh itu, katanya, keseluruhan klausa perlu dibaca, bukan hanya perkataan at the Ruler’s pleasure.

Maka terdapat dua tafsiran iaitu tafsiran pertama apabila perkenan YDPB ditarik balik, seseorang Exco terus kehilangan jawatan.

Manakala tafsiran kedua pula: “selama diperkenan” menerangkan tempoh jawatan, tetapi apabila pelantikan hendak dibatalkan, tindakan itu perlu dilakukan atas nasihat Menteri Besar.

Perkara 38(2)(b) menguatkan persoalan tersebut kerana Exco pada asalnya dilantik oleh Ruler atas nasihat Menteri Besar. Struktur kerajaan negeri dengan itu ialah: Menteri Besar dipilih berdasarkan kepercayaan majoriti DUN, kemudian Exco dilantik atas nasihat Menteri Besar.

Sementara itu, Perkara 40(1) pula menetapkan prinsip umum bahawa Ruler menjalankan fungsi mengikut nasihat Exco atau anggota yang bertindak di bawah kuasa Exco, kecuali Perlembagaan memperuntukkan sebaliknya.

Perkara 40 juga menyatakan apabila Ruler dikehendaki bertindak atas nasihat, nasihat tersebut hendaklah diterima dan dilaksanakan.

Mohamad Fakhzan Md Noor.

“Oleh itu persoalan penting ialah: adakah pemecatan Exco merupakan kuasa budi bicara Ruler? Jika ya, nasihat Menteri Besar mungkin tidak diperlukan. Jika bukan kuasa budi bicara, prinsip umum bertindak atas nasihat menjadi sangat penting,” tulisnya di media sosial.

Mohamad Fakhzan menambah, Negeri Sembilan mempunyai satu ciri unik, yang mana di bawah Perkara 28(2), bagi tujuan kuasa budi bicara tertentu di bawah Perkara 40(2), perkataan “Ruler” bermaksud YDPB bersama sekurang-kurangnya tiga daripada empat Undang; jika hanya tiga Undang memegang jawatan, sekurang-kurangnya dua daripada mereka diperlukan, tertakluk kepada pengecualian tertentu dalam Perlembagaan.

Ini bermaksud tidak semua “kuasa Raja” dalam UUTKNS semestinya bermaksud YDPB bertindak seorang diri, justeru perlu dilihat dahulu peruntukan mana yang digunakan dan bagaimana UUTKNS mendefinisikan “Ruler” bagi fungsi tersebut.

Hujah beliau, Dokumen Enakmen 2017 yang diberikan juga menunjukkan keunikan sistem Negeri Sembilan kerana formula penggubalannya menyebut YDPB bersama Undang Yang Empat serta Tengku Besar Tampin, dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negeri.

Namun formula penggubalan undang-undang ini tidak dengan sendirinya menentukan bagaimana Perkara 38(5) mengenai Exco mesti ditafsirkan.

Jelasnya, Perkara 38(3) pula menetapkan bahawa Exco bertanggungjawab secara kolektif kepada DUN dan Perkara 38(4) menyatakan bahawa jika Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti DUN, beliau hendaklah meletakkan jawatan Exco kecuali DUN dibubarkan atas permintaannya.

“Ini penting kerana UUTKNS membentuk satu sistem kerajaan: Rakyat → ADUN → majoriti DUN → MB → EXCO,” jelas beliau.

Menurutnya, YDPB mempunyai peranan perlembagaan yang penting, tetapi MB dan EXCO pada masa sama bertanggungjawab kepada DUN.

Dan, keadaan sekarang menjadi luar biasa kerana Menteri Besar tidak dibatalkan pelantikannya tetapi kesemua 10 Exco dibatalkan.

Mengulas mengenai alasan “melanggar ikrar taat setia”, Mohamad Fakhzan menjelaskan, Perkara 39 memang mensyaratkan Exco mengangkat sumpah sebelum menjalankan tugas namun kewujudan sumpah tidak dengan sendirinya menjawab siapa mempunyai kuasa memecat dan bagaimana pemecatan mesti dilakukan.

“Mudahnya, ada dua soalan berbeza: adakah Exco melanggar sumpah? Dan jika mereka melanggar sumpah, siapakah yang mempunyai kuasa perlembagaan untuk menamatkan jawatan mereka? Jawapan kepada soalan pertama tidak secara automatik menentukan jawapan kepada soalan kedua.

“Pewartaan pada 24 September pula menjadikan tindakan tersebut rasmi, tetapi pewartaan tidak semestinya menentukan kesahan perlembagaannya. Jika UUTKNS mensyaratkan sesuatu proses yang tidak dipenuhi, kewujudan Warta sahaja tidak semestinya menyembuhkan kecacatan itu.

“Kesan praktikalnya besar. Jika pembatalan sah, 10 Exco telah kehilangan jawatan dan Exco baharu perlu dibentuk. Jika pembatalan tidak sah, terdapat hujah bahawa Exco lama tidak pernah kehilangan jawatan. Ini boleh menimbulkan pertikaian mengenai mesyuarat Exco, arahan pentadbiran, kelulusan kerajaan dan keputusan yang dibuat selepas 20 September.

“Terdapat pula persoalan yang lebih awal: siapakah YDPB yang sah ketika kuasa itu digunakan? Semua kuasa di bawah Perkara 38 bergantung terlebih dahulu kepada pihak yang menggunakan kuasa itu mempunyai constitutional authority sebagai YDPB/Ruler. Jika kedudukan YDPB sendiri dipertikaikan di bawah Perkara 10 dan 11, isu tersebut mempunyai kesan langsung terhadap kesahan tindakan berikutnya.

“Jadi keseluruhan isu boleh diringkaskan kepada tiga soalan iaitu pertama siapakah YDPB/Ruler yang sah?; kedua: adakah “at the Ruler’s pleasure” dalam Perkara 38(5) memberikan kuasa unilateral untuk membatalkan Exco?

“Ketiga: atau adakah Perkara 38(5), apabila dibaca bersama Perkara 38 dan 40, memerlukan nasihat Menteri Besar?,” soal beliau lagi.

Jelasnya, Warta berkenaan menjadikan pembatalan itu suatu tindakan rasmi, tetapi Warta itu sendiri tidak menyelesaikan tiga persoalan perlembagaan tersebut.

Jadi, perkara tersebut memerlukan penentuan autoritatif berdasarkan UUTKNS, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here