Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau bagi mendapatkan perintah reman.

BALIK PULAU – Dua pekerja barangan lusuh direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kecurian kira-kira 30,000 unit cip bernilai RM2 juta dari sebuah kilang di Bayan Lepas di sini.

Perintah reman terhadap lelaki masing-masing berusia 32 dan 35 tahun itu dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini sehingga 1 Oktober depan.

Difahamkan, kejadian itu disedari pengurus kilang berkenaan ketika membuat pemeriksaan di dalam stor kilang pada 20 September lalu sebelum mendapati 30,000 unit cip didapati hilang.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan wayar pada pintu pagar hadapan dipotong, manakala pintu belakang dipercayai diumpil selain kamera litar tertutup (CCTV) telah berubah arah dari kedudukan asal.

Pengadu kemudian membuat laporan polis selepas mengesyaki stor kilang itu telah dipecah masuk dan kesemua cip dianggarkan RM2 juta telah dicuri.

Susulan itu bertindak atas maklumat dan risikan pihak polis menahan kedua-dua suspek di sebuah kedai barangan lusuh Batu Maung di sini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here