KUALA LUMPUR – Hasrat seorang wanita warga emas untuk menunaikan umrah tidak kesampaian selepas terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 63 tahun itu berhubung pakej umrah yang ditawarkan melalui sebuah syarikat pelancongan.
Menurut beliau, mangsa mendakwa mengalami kerugian RM15,000 selepas membuat bayaran bagi pakej umrah untuk tiga individu.
Menurutnya, bayaran berkenaan dibuat menerusi tiga transaksi ke dua akaun bank.
“Pengadu mendakwa perjalanan umrah berkenaan telah ditangguhkan sebanyak dua kali atas alasan masalah visa.
“Semakan awal mendapati lima lagi laporan polis dibuat oleh individu lain berkaitan perkara yang sama.
“Polis sedang merakam percakapan pengadu dan saksi serta mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan, termasuk syarikat pelancongan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, usaha mengesan individu yang terlibat sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan.
“Polis turut menasihatkan bakal jemaah agar menyemak status syarikat pengendali umrah dan mendapatkan pengesahan bertulis tentang pakej, penerbangan serta visa sebelum membuat bayaran,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















