KUANTAN – Seorang guru Kolej Vokasional Kuantan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Semambu-Kuantan, di sini pagi tadi.
Mangsa, Roshaizat Abdul Kadir, 56, cedera parah akibat kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati, SUV berkenaan dipercayai telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa.
“Mangsa yang cedera parah telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata, pemandu SUV terbabit yang berusia 29 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan pihaknya masih menunggu laporan ujian saringan air kencing lelaki berkenaan.
Tambahnya, polis sudah mendapatkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan itu dan akan menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan terlibat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian terbabit.
Orang ramai yang mempunyai maklumat ata urakaman berkaitan kejadian turut diminta tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette















