KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya memecah rekod berada dalam kedudukan 100 terbaik dunia apabila melonjak kedudukan ke 87 terbaik di dunia daripada keseluruhan 2,016 institusi pengajian tinggi lain dalam penarafan UI GreenMetric (UIGM) Sustainable World University Rankings 2026 yang diumumkan, baru- baru ini.
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, penarafan berkenaan mengiktiraf UTeM sebagai institusi yang melaksana dasar dan program mesra alam serta kampus lestari yang mampan.
“Pencapaian ini merupakan kejayaan berprestij UTeM di persada global bukan hanya pada ukuran kedudukan tetapi juga dalam aspek kemampuan UTeM melonjak kedudukan.
“Ini kerana UTeM telah menyertai UIGM pada 2016 dan mencapai kedudukan ke-269 daripada 516 universiti yang dinilai pada waktu itu seterusnya mencapai keputusan terbaik pada tahun lalu pada kedudukan 104 dunia,” katanya sewaktu
mengulas pencapaian ini di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan ini merupakan hasil usaha mengintegrasikan program kelestarian dengan teknologi pintar dan inovasi hijau, seiring dengan aspirasi UTeM Pintar Lestari ke arah kampus yang lebih cekap, rendah karbon dan mampan.
“Lonjakan UTeM berjaya ke tangga kedudukan ke-87 dunia dalam UIGM jelas mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kelestarian kampus melalui kecekapan tenaga, pengurusan sisa dan air, pengangkutan lestari, pendidikan, penyelidikan, tadbir urus serta pendigitalan.
“Pencapaian ini turut dipacu oleh keberkesanan peranan Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi) dalam menyelaras pengurusan kelestarian alam di UTeM dan komuniti setempat, dengan sokongan berterusan daripada pengurusan tertinggi serta seluruh
warga UTeM.
“UIGM menjadi penanda aras global yang penting dalam menilai prestasi kelestarian universiti, sekali gus meningkatkan keterlihatan antarabangsa, memperkukuh reputasi serta membuka ruang kepada jaringan dan kolaborasi strategik yang lebih luas,” ulasnya lagi. – MalaysiaGazette
















