KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menduduki tempat ke-35 terbaik dunia, dalam kelompok 10 terbaik Asia dan nombor satu di Malaysia dalam UI GreenMetric Sustainable University Rankings 2026.
Pencapaian itu menunjukkan perkembangan berterusan prestasi kelestarian UM.
Di peringkat nasional, UM meningkat daripada tempat ketiga di Malaysia pada 2023 kepada tempat kedua pada 2024 dan 2025, sebelum menduduki tempat pertama pada 2026.
Menurutnya, kemajuan tersebut mencerminkan usaha berterusan dan secara kolektif universiti berkenaan dalam menerapkan aspek kelestarian merentasi operasi serta fungsi terasnya.
Ia meliputi tindakan berkaitan iklim dan tenaga, pengurusan sumber secara bertanggungjawab, mobiliti lestari, biodiversiti dan infrastruktur, selain pendidikan, penyelidikan, penglibatan komuniti, tadbir urus dan pendigitalan.
Lebih penting, pencapaian itu menggambarkan komitmen institusi untuk jangka panjang dalam menterjemahkan kelestarian daripada sekadar aspirasi kepada amalan harian, tindakan yang boleh diukur serta impak yang bermakna.
“Kelestarian bukan lagi satu pilihan dan tidak boleh kekal sebagai sekadar kenyataan hasrat. Ia perlu dapat dilihat melalui cara sesebuah universiti berfikir, beroperasi, membina, mengajar dan menghasilkan impak.
“Namun, kepimpinan tidak ditentukan oleh kedudukan yang kita capai, sebaliknya apa yang kita lakukan selepas ini,” kata Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.
Jelasnya, UM perlu terus menerajui usaha dengan menjadikan kampus sebagai platform sebenar bagi penyelesaian lestari, memperkukuh penyelidikan yang menangani cabaran dunia sebenar serta melahirkan generasi yang bukan sahaja memahami kelestarian, malah mempunyai keberanian dan keupayaan untuk membentuk masa depan dunia dan manusia yang lebih berdaya tahan.”
Perjalanan kelestarian UM dibangunkan secara berperingkat melalui kerjasama antara fakulti, pusat penyelidikan, unit pentadbiran dan komuniti kampus secara keseluruhannya.
Pendekatan itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan pengurangan karbon, malah merangkumi penyelidikan dan inovasi, pendidikan, tadbir urus institusi, penglibatan komuniti serta usaha mewujudkan kampus yang lebih sihat, inklusif dan berdaya tahan.
Pencapaian itu mencerminkan hasil yang mampu dicapai apabila kelestarian menjadi tanggungjawab bersama institusi, disokong komitmen berterusan, kerjasama serta kesediaan untuk menerima perubahan.
Sempena ulang tahun ke-121 UM, universiti itu kekal komited untuk terus memperkukuh aspek kelestarian dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, operasi serta penglibatan, selain memperluaskan impaknya melangkaui kampus.
“Pencapaian itu bukan sahaja mengiktiraf sejauh mana UM telah berkembang, malah menjadi peringatan bahawa perjalanan kelestarian masih berterusan untuk menerajui melalui teladan, menghasilkan impak bermakna dan membina kampus yang membolehkan manusia serta alam semula jadi berkembang secara bersama,” kata UM lagi. – MalaysiaGazette
















