AMMAN – Kerajaan Negeri Perlis mahu membentuk ekosistem pendidikan yang lebih tersusun bagi membantu pelajar negeri itu melanjutkan pengajian ke Jordan, bermula daripada proses kemasukan sehingga persediaan kerjaya selepas tamat pengajian.
Usaha berkenaan menjadi antara fokus lawatan kerja rasmi delegasi negeri Perlis yang diketuai Pengerusi Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam Negeri Perlis, Profesor Madya Dr. Mohd Akram Dahaman @ Dahlan ke Jordan, semalam.
Menurut Mohd Akram, beberapa isu dan cabaran semasa dibincangkan bersama Duta Besar Malaysia ke Jordan dan Palestin yang berpengkalan di Amman, Datuk Mohamad Nasri Abdul Rahman serta Education Malaysia Jordan (EMJ), khususnya kemerosotan jumlah pelajar yang memohon untuk melanjutkan pengajian ke negara berkenaan.
Katanya, perbincangan turut menyentuh peningkatan kos pengajian dan sara hidup, keperluan pendedahan dalam aspek pengurusan serta kerjaya selain usaha meningkatkan kualiti pelajar keluaran institusi pengajian di Jordan.
“Education Malaysia Jordan bersedia membantu memberikan pendedahan dan bimbingan kepada pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Jordan menerusi bengkel, sesi penerangan, bimbingan permohonan dan program berkaitan.
“Peluang kerjasama antara Kerajaan Negeri Perlis dengan universiti di Jordan juga akan diteroka bagi membantu mengurangkan beban kos pengajian pelajar,” katanya.
Dalam aspek pembangunan kerjaya, beliau berkata, latihan industri di Perlis perlu dilaksanakan secara lebih tersusun supaya pelajar mendapat pendedahan awal mengenai pengurusan, pelaksanaan tugas, budaya kerja dan keperluan sebenar alam pekerjaan.
Menurutnya, pemantauan berkala serta pemberian insentif kepada pelajar cemerlang turut dilihat mampu meningkatkan motivasi, pencapaian akademik dan kualiti graduan.
Beliau berkata, usaha itu diharapkan dapat membentuk ekosistem pendidikan Jordan–Perlis yang merangkumi urusan kemasukan, pembiayaan, pemantauan pengajian, pembangunan kemahiran dan persediaan kerjaya.
“Pendidikan bukan sekadar membuka jalan ke universiti, malah membina laluan daripada ilmu kepada khidmat dan kerjaya,” katanya. – MalaysiaGazette
















