NAGOYA – Selaku ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun pastinya antara individu paling teruja menyaksikan kejayaan skuad sepak takraw negara merangkul pingat emas bagi acara regu berpasukan Sukan Asia edisi Aichi-Nagoya 2026 hari ini.
Kejayaan itu mengulangi kenangan indah pada temasya edisi 1990 di Beijing apabila beliau yang ketika itu sebagai pemain membantu Malaysia bergelar juara dan kali ini memainkan peranan penting dari luar gelanggang pula.
Terdahulu, skuad sepak takraw negara menghadiahkan detik indah itu selepas menewaskan seteru utama Thailand 2-0 pada aksi final, sekali gus menamatkan penantian 36 tahun emas di temasya itu.
Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu tidak melihatnya sebagai pencapaian peribadi, sebaliknya kejayaan sebagai sebuah pasukan lebih utama selepas sekian lama Malaysia tidak memenangi emas Sukan Asia dalam acara berkenaan.
“Tumpuan saya sebenarnya bukan mengenai pernah menjadi juara dalam Sukan Asia sebagai pemain dan sekarang sebagai jurulatih.
“Bagi saya yang paling penting adalah ingin melihat kejayaan pasukan negara dalam perlawanan akhir kerana ia akan memberikan satu suntikan semangat tambahan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Ahmad Jais berkata, kejayaan itu juga diharap dapat memberi rangsangan kepada pembangunan sepak takraw negara, termasuk menarik lebih banyak sokongan daripada pihak korporat serta membuka peluang kepada pemain muda berpotensi untuk diketengahkan.
Beliau berkata pembangunan pelapis perlu diberi perhatian, khususnya pendedahan di peringkat antarabangsa kepada pemain muda sebagai persediaan mengambil alih tempat pemain senior pada masa depan.
“Kalau kita tengok dari segi prestasi skuad Indonesia, pasukan mereka dianggotai ramai pemain muda yang berpotensi dan berani diketengahkan.
“Jadi, kita juga perlu seiring dengan perkembangan itu supaya kita tidak ketinggalan dalam memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi di peringkat antarabangsa,” katanya.
Ahmad Jais juga mengingatkan setiap pemain agar tidak leka dengan kejayaan bagi acara berpasukan hari ini kerana skuad negara masih mempunyai tugasan dalam acara regu yang bermula pada Ahad.
Beliau berkata barisan pemain yang dipertanggungjawabkan dalam acara berkenaan berada dalam keadaan baik dan perlu mengekalkan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan. – BERNAMA
















