KUALA LUMPUR – Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan rakyat secara besar-besaran serta pengumpulan bahan kitar semula dalam tempoh satu hari.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan kementerian sebaliknya mencerminkan komitmen rakyat dalam menjayakan agenda kebersihan negara.
“Dua rekod yang kita cipta hari ini bukan sekadar tentang angka.
“Di sebalik angka ini ialah ratusan ribu rakyat Malaysia yang memilih untuk turun bersama-sama, membersihkan persekitaran dan mengitar semula demi negara yang lebih bersih dan lestari,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kor Ming, pencapaian itu membuktikan semangat gotong-royong masih kukuh dalam masyarakat dan mempunyai potensi untuk diterjemahkan kepada perubahan tingkah laku secara berterusan.
HCM 2026 dilaksanakan serentak di 469 lokasi seluruh negara dengan menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang bersama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, sukarelawan dan komuniti setempat.
Lebih 10,000 sekolah di seluruh negara turut menyokong pelaksanaan HCM 2026 dengan penyertaan murid diiktiraf menerusi Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Katanya, penglibatan generasi muda penting bagi membentuk kesedaran sejak usia persekolahan mengenai kepentingan menjaga kebersihan, mengasingkan sisa dan mengamalkan kitar semula.
“Rekod boleh dicipta dalam sehari tetapi budaya mengambil masa untuk dibina.
“Cabaran kita selepas ini ialah memastikan semangat Hari Cuci Malaysia diterjemahkan kepada amalan setiap hari iaitu jangan buang sampah, kurangkan sisa dan jadikan kitar semula sebahagian daripada kehidupan,” ujarnya.
Dua rekod baharu MBOR yang dicatatkan itu ialah penyertaan seramai 200,000 peserta di seluruh negara serta pengumpulan 30,000 kilogram bahan kitar semula dalam tempoh satu hari.
KPKT turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian dan agensi, kerajaan negeri, PBT, rakan strategik, penaja, NGO, institusi pendidikan, sukarelawan serta seluruh rakyat Malaysia yang menjayakan HCM 2026.
Kejayaan itu disifatkan sebagai simbol kekuatan tindakan kolektif rakyat dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bersih, indah dan sejahtera. – MalaysiaGazette
















