MELAKA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tiga tindakan dan langkah untuk memperkasa kefahaman terhadap Perlembagaan negara.
Beliau berkata, tindakan paling utama ialah memperkukuhkan pendidikan sejarah dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, golongan muda perlu dibimbing untuk meneliti sumber, memahami bagaimana sejarah itu dibentuk dan dibuktikan.
“Berilah mereka ruang untuk bertanya dan menguji tafsiran, dengan tetap bertanggungjawab terhadap fakta. Dalam dunia yang dibanjiri maklumat, keupayaan ini semakin penting dan teknologi boleh menjadikan sesuatu cerita tular, tetapi ilmu diperlukan untuk menguji sama ada cerita itu benar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurut Ahmad Zahid, tindakan kedua yang perlu dilaksanakan dengan membina kefahaman terhadap asas pembinaan negara.
Meskipun berbeza aliran pendidikan, jelasnya, setiap anak Malaysia perlu memahami sejarah pembentukan negara,
“Kita mahu mereka melangkah ke dunia dengan pandangan yang luas, sambil tetap mengenali tanah air dan tanggungjawab terhadapnya.
“Semakin luas dunia yang mereka terokai, semakin kukuh akar yang perlu kita pasakkan,” tegasnya.
Tindakan seterusnya, kata beliau, satu kajian terhadap keperluan kerangka perundangan khusus untuk memelihara keharmonian negara.
Hasutan kebencian tegasnya, perlu ditangani melalui peruntukan yang jelas dan proses yang adil.
Pada masa sama, tambahnya, kajian akademik, perbahasan berasaskan fakta dan kritikan yang sah mesti terus dilindungi.
“Ruang ilmu perlu subur, dan kehidupan bersama perlu terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















