ISKANDAR PUTERI – Dakwaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti disebabkan isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak yang akan dimainkan pihak lawan adalah tidak berasas.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad berkata, isu tersebut hanya dibangkitkan DAP dan pada masa sama pengundi pula kini sudah bijak menilai sesuatu isu yang dimainkan
“Mereka pun menghendakkan kembalinya Datuk Seri Najib yang diberi pengampunan diraja dan sebagainya. Pembangkang nak menaikkan emosi sesuatu pihak sahaja supaya menyokong mereka.
“Saya ingat ini nonsense,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran GGR Motor X Ajak Perkukuh Rangkaian Motosikal EV GGR di Taman Nusa Bestari di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan GGR, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi danPengarah Cawangan tersebut, Mohamad Hanaffi Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak Shiro.
Pandak mengulas dakwaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bahawa UMNO dan BN bakal kalah teruk dalam pilihan raya nanti kerana terpengaruh dengan sentimen tidak puas hati terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Dakwa Hassan, ia kerana rakyat dilihat marah dengan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Najib, 73, disabitkan pada 2020 atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta daripada SRC International.
Mengulas lanjut, Pandak berkata, walau apa tanggapan diberikan UMNO dan BN sudah bersedia untuk PRU-16 dan PRN Melaka pada bila-bila masa serta hanya menunggu pengumuman dilakukan.
“Saya rasa kali ini kita dapat balik lebih majoriti lebih besar di Melaka,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar.
Beliau yakin momentum yang berlaku dalam PRN di Johor dan Negeri Sembilan akan berulang di Melaka kerana negeri tersebut tidak banyak beza dengan Johor.
Pada masa sama, Ketua Menteri Melaka turut melakukan pendekatan sama seperti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sentiasa turun padang menyantuni rakyat.
“Ini adalah kaedah yang mereka meletakkan Johor sebagai asas. Jadi saya rasa tak ada masalah untuk ‘membirukan’ negeri Melaka kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette

















Tak payah layan laa Hasan Karim bodoh tu…kalau pandai dah lama Nuar Berahim lantik jd Menteri Kabinet…