SEREMBAN – Polis telah merekodkan keterangan 21 individu, termasuk pelajar, guru, dan ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar lelaki di Kuala Pilah, semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata setakat ini punca kematian Muhammad Idlan Fareeq Shahril yang berusia 14 tahun masih belum diperoleh.
“Punca kematian belum dapat ditentukan pada masa ini, dan masih menunggu keputusan ujian lanjutan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Alzafny berkata seorang pelajar tingkatan empat direman enam hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai satu kejadian mendatangkan kecederaan terhadap pelajar berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Kuala Pilah.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, dan disahkan meninggal dunia.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 8 malam semalam di sebuah asrama sekolah menengah di daerah Kuala Pilah. – BERNAMA
















