KUALA LUMPUR – Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya (UM) menganjurkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 bagi menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh kebersamaan warga institut serta menghayati erti kemerdekaan dalam suasana ceria dan harmoni.
Program berkenaan menghimpunkan warga IAS bersama pelajar antarabangsa menerusi pelbagai aktiviti, termasuk senamrobik, nyanyian lagu patriotik, upacara simbolik kemerdekaan, sesi fotografi beramai-ramai dan gotong-royong 5S.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan Dekan IAS, Profesor Dr. Ramesh T. Subramaniam yang menekankan kepentingan perpaduan sebagai asas kepada keharmonian dan kemajuan negara.
Beliau menyeru warga IAS supaya terus menghormati kepelbagaian budaya, agama dan latar belakang, selain memperkukuh hubungan sesama warga institusi.
Menurut beliau, semangat kemerdekaan bukan sekadar diraikan menerusi sambutan tahunan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kebersamaan, sikap saling menghormati serta komitmen dalam melaksanakan amanah kepada institusi dan negara.

Sesi senamrobik yang diketuai Erna Achbar turut mendapat sambutan meriah daripada staf IAS dan pelajar antarabangsa.
Aktiviti itu bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, malah menjadi medium mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kebersamaan antara warga institut dan komuniti antarabangsa.
Semangat patriotisme diteruskan menerusi nyanyian lagu Aku Anak Malaysia dan Aku Janji nyanyian Faizal Tahir.
Warga IAS bersama pelajar antarabangsa menyanyikan lagu berkenaan sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan memegang belon berwarna merah, putih, biru serta kuning yang melambangkan warna bendera kebangsaan.
Upacara simbolik kemerdekaan kemudiannya diteruskan dengan acara memotong kek bertemakan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 sebelum Dekan IAS melepaskan dua ekor burung tekukur.
Acara pelepasan burung berkenaan menjadi simbol kebebasan, keharmonian dan harapan untuk terus melangkah maju dalam semangat Malaysia yang teguh, selain memacu IAS sebagai pusat tanggungjawab (PTj) yang cemerlang di UM.
Laungan “Merdeka!” turut bergema dipimpin Dr. Ramesh T. Subramaniam dan disambut penuh semangat oleh warga IAS serta pelajar antarabangsa.
Program kemudian diteruskan dengan aktiviti Gotong-Royong 5S yang melibatkan kerja pembersihan, penyusunan dan pengemasan ruang pejabat IAS.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk membersihkan ruang pantri, menyapu kawasan kerja serta mengelap kabinet dan ruang penyimpanan.
Amalan 5S yang berasal daripada budaya pengurusan tempat kerja di Jepun merangkumi Seiri (Sisih), Seiton (Susun), Seiso (Sapu), Seiketsu (Seragam) dan Shitsuke (Sentiasa Amal).
Pelaksanaan amalan itu membantu memastikan persekitaran kerja IAS sentiasa bersih, teratur, selamat dan kondusif, selain memperkukuh rasa tanggungjawab bersama terhadap kemudahan institut.
Secara keseluruhannya, Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 berjaya menghimpunkan warga IAS dalam program yang menggabungkan elemen patriotisme, kecergasan, simbolik kemerdekaan dan tanggungjawab terhadap persekitaran kerja.
Penganjuran itu turut memperlihatkan semangat kerjasama dan komitmen warga IAS dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan di peringkat institut, di samping mempererat hubungan antara warga tempatan dengan komuniti antarabangsa. – MalaysiaGazette
















