KUALA NERUS – Kemasukan ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi Sesi Akademik 2026/2027 mencipta kisah unik apabila kehadiran kembar seiras tiga menjadi antara tumpuan pada hari pendaftaran pelajar baharu.
Tiga beradik kembar seiras dari Selangor iaitu Nur Fatihah Nazaruddin, Nur Insyirah Nazaruddin dan Nur Aqilah Nazaruddin, 23 tahun, yang berasal daripada keluarga tujuh beradik, telah mendaftar bagi mengikuti pengajian di university itu.

Ketiga-tiga mereka ditawarkan mengikuti program Sarjana Muda Sains (Matematik Gunaan) dengan Kepujian di UMT, sekali gus memulakan perjalanan akademik bersama di universiti yang sama.
Selain itu, sesi pendaftaran turut diserikan dengan kehadiran pasangan kembar seiras dari Pahang, Wan Nur Qistina Adiyana Wan Ahmad Shafie dan Wan Nur Qistina Adiyani Wan Ahmad Shafie, kedua-duanya berusia 19 tahun.
Lebih menarik, pasangan kembar itu bukan sahaja memilih universiti yang sama, malah membuat keputusan untuk mengikuti program Sarjana Muda Matematik Kewangan di UMT.

Dalam perkembangan sama, kemasukan sesi ini turut mencuri perhatian apabila tiga beradik dari Alor Setar, Kedah mendaftar untuk mengikuti pengajian di universiti yang sama.
Tiga beradik berkenaan ialah Muhammad Alif Fahmi Arshad, 21, lepasan Diploma yang mengambil tempoh pengajian selama tiga tahun, diikuti adiknya Muhammad Amin Taqiuddin Arshad, 20, lepasan Kolej Matrikulasi dengan tempoh pengajian dua tahun serta Muhammad Iqbal Izzuddin Arsyad, 19, lepasan Kolej Matrikulasi yang mengikuti program persediaan selama setahun.
Ketiga-tiga mereka kini memulakan langkah baharu di peringkat ijazah sarjana muda di UMT dengan menjadikan perjalanan ke universiti sebagai pengalaman yang dikongsi bersama adik-beradik.
Menurut Muhammad Amin Taqiuddin, mereka sekeluarga berasa gembira apabila ketiga-tiga beradik berpeluang melanjutkan pengajian di universiti yang sama.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja memberi semangat kerana dapat berada dalam persekitaran pengajian yang sama, malah memudahkan urusan keluarga terutama dari segi persediaan penghantaran, pendaftaran dan keperluan sepanjang tempoh pengajian.
“Kami sangat gembira dapat belajar di universiti yang sama kerana banyak urusan menjadi lebih mudah. Apabila melibatkan pendaftaran atau penghantaran, semuanya di tempat yang sama dan pada masa yang sama ia dapat menjimatkan kos keluarga,” katanya.
Bagi keluarga berkenaan, keputusan tiga beradik melanjutkan pengajian di UMT secara serentak turut menjadi satu pengalaman baharu apabila mereka dapat saling memberi sokongan sepanjang berada di alam universiti.
Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad turut meluangkan masa menyantuni pelajar baharu dan keluarga yang hadir bagi mendaftarkan diri.
Beliau berkata, kemasukan pelajar baharu merupakan detik penting dalam perjalanan akademik mereka dan UMT sentiasa berusaha memastikan proses pendaftaran berlangsung dengan lancar, selesa serta memberikan pengalaman awal yang positif kepada mahasiswa.
“Kami mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu ke UMT. Setiap seorang hadir dengan latar belakang, pengalaman dan impian yang berbeza, namun mereka kini berkongsi satu perjalanan sebagai warga Universiti Malaysia Terengganu.
“Manfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia di UMT, bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan akademik, tetapi juga membina kemahiran, persahabatan, jaringan dan pengalaman yang akan menjadi bekalan selepas tamat pengajian,” katanya.
Kemasukan Sesi Akademik 2026/2027 menyaksikan seramai 2,546 pelajar baharu mendaftar di UMT, termasuk pelajar antarabangsa dari pelbagai negara seperti Emiriah Arab Bersatu, Republik Czech, Turkiye dan Sweden bagi mengikuti pengajian peringkat sarjana muda dalam pelbagai bidang, khususnya program berkaitan sains marin, teknologi maritim, kejuruteraan, sains komputer dan pengurusan. – MalaysiaGazette















