Suasana di Pusara Negara anggota ATM dan petugas menggali kubur sebagai proses pengebumian Tokoh Negara, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Presint 20, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2026.

PUTRAJAYA –  Beberapa anggota tentera dilihat mula menggali liang lahad di Pusara Negara, Presint 20, di sini bagi persiapan pengebumian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali yang dijadualkan petang ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi sejak kira-kira pukul 2 petang tadi mendapati kawasan tanah perkuburan itu tenang, dengan kehadiran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan tugasan masing-masing.

Beberapa anggota tentera turut dilihat berada di sekitar kawasan berkenaan dipercayai sedang melakukan kawalan dan persiapan bagi melaksanakan pengebumian Allahyarham Dr. Siti Hasmah yang diberi taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Meskipun cuaca panas di kawasan ini, kelihatan orang awam dan media sudah mula berkumpul di sini.

Jenazah Allahyarhamah dijangka tiba di tanah perkuburan berkenaan selepas solat jenazah yang diadakan di Masjid As-Syarif sebelum meneruskan perjalanan terakhir di Pusara Negara.

Allahyarhamah, 100, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.

Pemergian Allahyarhamah disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, yang turut berada bersama ahli keluarga di IJN.

Pagi tadi, Perdana Menteri mengumumkan Kerajaan Madani akan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah, yang juga isteri kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan serta memberikan taraf istiadat berkenaan kepada Allahyarhamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here