Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir bagi mengikuti keputusan berhubung kesahihan serta pelaksanaan Titah Adendum untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 DISEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Permohonan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat lain untuk membekukan aset Datin Seri Rosmah Mansor sementara menunggu penyelesaian kes saman AS$346 juta terhadapnya, akan didengar oleh Mahkamah Tinggi pada 7 Januari tahun depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah menetapkan tarikh itu untuk mendengar dan memutuskan permohonan injunksi Mareva yang dikemukakan 11 pihak tersebut selaku plaintif.

Pada prosiding pengurusan kes tersebut, peguam Sheena Stephanie Sebastian mewakili Rosmah, manakala Henna Nikita Sanghvi mewakili 1MDB.

Permohonan itu difailkan 1MDB dan lima anak syarikatnya: 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited, dan SRC International Sdn Bhd.

Lima syarikat lain ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited, dan Brightstone Jewellery Limited yang turut bertindak sebagai plaintif dalam saman tersebut.

Injunksi Mareva merupakan perintah sementara bagi menghalang defendan daripada melupus atau mengendalikan aset mereka, sementara prosiding undang-undang sedang berjalan.

Dalam kes ini, plaintif sedang berusaha untuk menghalang Rosmah daripada berurusan dengan aset bernilai sehingga AS$346 juta (RM1.4 bilion), termasuk tunai, saham syarikat, hartanah dan aset-aset lain.

Pada 9 Mei 2024, 1MDB bersama 10 syarikat lain memfailkan saman terhadap Rosmah dan pereka fesyen warga Singapura, Shabnam juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Pihak plaintif menarik balik tuntutan mereka terhadap Shabnam, pada April tahun lalu.

Mereka memohon perintah mahkamah agar Rosmah membayar USD346,010,489, atau apa-apa jumlah yang dianggap wajar oleh mahkamah dalam saman berkait pembelian barangan mewah didakwa dibiayai menggunakan dana 1MDB yang diseleweng.

Pihak plaintif turut memohon perisytiharan plaintif pertama hingga keenam adalah pemilik sah barangan mewah terbabit, yang didakwa berada dalam simpanan Rosmah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here