Benarkah kewujudan ikan pirahna di Empangan Klau di Raub atau sekadar ikan tersasat?

RAUB – “Kalau benar piranha, kenapa seekor sahaja?”

Itu persoalan yang bermain di fikiran seorang penduduk tempatan Ramlan Ibrahim, 68, dikenali sebagai Pak Ngah, yang mempunyai pengalaman kira-kira 11 tahun berada di sekitar Empangan Klau.

Ramlan Ibrahim

Persoalan itu timbul susulan kekecohan mengenai penemuan seekor ikan yang didakwa piranha pada Ogos lalu.

Menurut Pak Ngah, sepanjang berada dan melakukan aktiviti memancing di kawasan empangan berkenaan, beliau tidak pernah melihat atau mendengar kewujudan ikan yang didakwa piranha itu sebelum ini.

Katanya, jika benar ikan yang ditemukan itu adalah piranha, ia mungkin sekadar ikan ‘sesat’ kerana spesies berkenaan lazimnya dikaitkan dengan kehidupan secara berkumpulan.

“Kalau ikutkan spesies ini, dia berkumpulan. Kalau yang seekor itu kalau sah pun ikan piranha, anggapan Pak Ngah sebagai orang kampung, ikan sesat.

“Persoalannya, adakah ikan piranha ataupun sekadar menyerupai piranha? Mungkin pacu atau bawal. Itu Pak Ngah tak faham sebab bukan arif dalam bidang itu,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman penduduk dan pemancing di kawasan itu juga penting untuk melihat sejauh mana dakwaan berkenaan mempunyai asas.

Muhammad Harizan Zulkifli

Sementara itu, pemancing, Muhammad Harizan Zulkifli, 46, berkata, dia juga tidak pernah mendengar mengenai kewujudan ikan piranha di Empangan Klau sebelum isu itu menjadi kecoh kebelakangan ini.

“Saya memang selalu memancing dekat Empangan Klau ini. Tak adalah selalu sangat, tapi adalah memancing.

“Sebelum ini memang tak pernah dengar ikan piranha. Dalam sebulan dua ini kecoh pula pasal piranha. Saya tak tahu sahih atau tidak.

“Tapi yang terbaru ini ada nampak dalam video, dapat ada seekor itu. Jadi kita nak pergi tengok ada atau tidak ikan itu di kawasan dalam video tersebut,” katanya.

Menurutnya, selain lokasi yang dikaitkan dengan video penemuan ikan berkenaan, terdapat satu lagi kawasan berhampiran jambatan yang turut disebut sebagai lokasi penemuan kali kedua.

Lim

Dalam pada itu, seorang pengunjung yang menetap di Selangor, dikenali sebagai Lim, 36, berkata, dia dan rakan-rakannya kerap mengunjungi kawasan berkenaan untuk aktiviti memancing dan perkhemahan.

Katanya, mereka biasanya datang secara berkumpulan antara empat hingga 10 orang, manakala kunjungan kali ini disertai lapan individu yang merancang berkhemah selama tiga hari dua malam.

Ujarnya sepanjang lima tahun di kawasan berkenaan, beliau biasa berjaya mendapatkan toman, kaloi, zebra talapia dan baung.

“Nampak laporan berita sahaja, saya datang sebulan sekali. Pada pendapat saya, tiada piranha di sini. Mungkin ada orang lepaskan kemudian kebetulan orang itu menjala dapat ikan itu.

Dalam pada itu, sekumpulan nelayan Indonesia yang memancing di situ turut beranggapan dakwaan kewujudan pirahna sekadar khabar angin.

Salah seorang yang dikenali sebagai Mukhtar Yani berkata, sepanjang memancing di kawasan itu, dia hanya menjumpai spesis talapia.

Mukhtar Yani bersama rakan mengmbil peluang memancing di Empangan Klau, Raub waktu petang

“Tak pernah jumpa ikan piranha, cuma dengar cerita orang sahaja. Tak pasti benar atau tidak. Dapat talapia kecil sahaja. Tak nak lah jumpa ikan pirahna,” katanya.

Terdahulu tular dakwaan penemuan seekor ikan yang disyaki pirana di Empangan Klau di sini pada 26 Ogos lalu, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai kewujudan spesies pemangsa itu di perairan berkenaan.

Penemuan seekor ikan berkenaan mula mendapat perhatian selepas ia dirakam dan dikaitkan sebagai piranha, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada spesies berkenaan benar-benar terdapat di Empangan Klau atau ia sekadar ikan lain yang mempunyai rupa seakan-akan pirana.

Penilaian teknikal awal mendapati ciri morfologi ikan berkenaan konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan piranha.

Bagaimanapun, Jabatan Perikanan menegaskan penemuan itu belum boleh dijadikan bukti bahawa piranha sudah membiak atau membentuk populasi di Empangan Klau.

Malah, pengesahan spesies sebenar masih belum dapat dilakukan kerana spesimen asal yang didakwa ditangkap itu sudah tiada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here