KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan kerajaan yang berusaha menyelesaikan isu pelarian Myanmar di negara ini di mana kerajaan pada masa turut komited menjaga kebajikan dan hak asasi mereka.
Perdana Menteri berkata, adalah tidak adil untuk mengutuk usaha Malaysia yang selama ini menampung ratusan ribu pelarian itu selepas tinggal lama di negara ini dengan mencari penyelesaian sebaik mungkin.
“Pendirian kami adalah untuk melindungi kebajikan dan hak asasi mereka. Namun, mengutuk kami semata-mata kerana mengambil inisiatif ini, saya rasa ia tidak adil.
“Kami sedang berusaha mencari penyelesaian yang baik bagi isu ini,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Malaysia Professional Day di sini, hari ini.

Hari ini, Malaysia mula menghantar pulang kira-kira 1,500 pelarian Myanmar melalui fasa pertama program penghantaran pulang iaitu kumpulan pertama daripada 5,000 warga Myanmar yang bersetuju untuk pulang secara sukarela dari pusat tahanan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sedia menerima beberapa pandangan mengenai kebimbangan pelarian terbabit untuk dihantar pulang.
Beliau turut memberi jaminan Malaysia sedang cuba mencari penyelesaian terbaik dan menjemput Presiden Myanmar untuk terus berunding kerana masalah itu sudah berlarutan selama berdekad-dekad tanpa penyelesaian.
“Keadaan menjadi semakin teruk dan jumlah pelarian juga meningkat. Tiada mana-mana negara boleh menerima ratusan ribu orang pelarian dan bagi sesetengah negara, jutaan pelarian begitu sahaja.
“Oleh itu, kita perlu berunding. Saya gembira kerana Presiden (Myanmar) berbesar hati menerima jemputan untuk berbincang serta berunding,” katanya. – MalaysiaGazette
















