MELAKA – Lelaki yang ditahan selepas didakwa cuba melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Ayer Molek, di sini malam tadi, dipercayai mengalami keadaan ‘gila isim’ yang dikaitkan dengan tuntutan ajaran salah.
Perkara itu disahkan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang berasal dari Sungai Petai, Alor Gajah itu sebagai mengalami keadaan hilang pertimbangan atau tidak waras buat sementara waktu.
“Saya dah siasat kes ini memang betul malam tadi dan suspek ini ‘isim’ dan bukan orang Ayer Molek, sebaliknya orang Sungai Petai.
“Sebelum kejadian, dia bertindak merampas telefon pengguna jalan raya dengan alasan mahu telefon polis sebelum lari meredah sungai untuk basuh muka.
“Suspek kemudian cuba melarikan kereta individu lain sehinggalah kejadian terakhir dia ditangkap kerana tindakan akibat hilang pertimbangan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette hari ini melaporkan tular lima klip video memaparkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak agresif termasuk cubaan melarikan seorang kanak-kanak berkenaan sebelum ditahan orang awam dan menyerahkanya kepada polis.
Menurut saksi, Asyraf Kadir, 25, ketika kejadian jam 8.12 malam itu, dia dan dua lagi rakannya sedang makan di kedai berhampiran sebelum terdengar bunyi kecoh di simpang jalan masuk ke taman perumahan di hadapan kedai.
Dakwanya, pada awalnya lelaki terbabit dilihat menghampiri pasangan suami isteri menaiki sebuah motosikal bersama anak perempuannya berusia lingkungan enam tahun yang duduk di dalam bakul hadapan
“Mula-mula saya lihat dia seperti meracau bercakap dengan penunggang motosikal terbabit sebelum tiba-tiba dia merangkul kanak-kanak berkenaan dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan orang ramai,” katanya.
Difahamkan sebelum kejadian menimpa kanak-kanak itu, berlaku dua kejadian lain apabila lelaki sama didakwa cuba melarikan sebuah kenderaan yang mempunyai kanak-kanak di dalamnya dan memukul seorang warga emas. – MalaysiaGazette
















