Nazili membuat pemeriksaan Perbarisan Kehormat Pegawai Bomba Bantu Kor Siswa UTHM di pekarangan Dewan Sultan Ibrahim, UTHM, Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menubuhkan Pegawai Bomba Bantuan Kor Siswa di universiti bertujuan memperluas usaha pendidikan dan kesedaran keselamatan kebakaran kepada golongan mahasiswa.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Ts Nazili Mahmood berkata, inisiatif berkenaan adalah di bawah Teras 2 Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2030.

“JBPM berusaha memperkukuh amalan dan pembudayaan keselamatan melalui pembangunan modul pembelajaran dan aktiviti kokurikulum keselamatan di semua peringkat institusi pendidikan bermula dari institusi pendidikan awal kanak-kanak sehinggalah institusi pengajian tinggi.

“Pembangunan rangka pembelajaran dan program kokurikulum ini adalah setara dengan sistem dan piawaian antarabangsa yang dipupuk dan diguna pakai tenaga pengajar (Pendidik Keselamatan Kebakaran) di negara maju, agar tahap perlindungan kebakaran serta aspek pengurusan kecemasan dapat diuruskan dengan lebih sistematik,” katanya.

Nazili berkata demikian ketika hadir dalam Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Kos Siswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2026 di Dewan Sultan Ibrahim UTHM di sini semalam.

Katanya, dalam menjayakan inisiatif pengurusan keselamatan kebakaran yang menyeluruh, JBPM mengimplimentasi program dari peringkat kanak-kanak seawal usia lima tahun lagi.

Jelas beliau, ini khususnya anak-anak yang mula mendekati alam persekolahan di peringkat pra sekolah atau tadika melalui program Kelab Bomba Cilik (KBoC).

Di peringkat sekolah rendah, kita mendidik anak-anak melalui program Bomba Junior diikuti dengan program Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia di peringkat sekolah menengah, katanya.

“Ia berterusan dan dikembangkan pula hingga ke peringkat pengajian tinggi di bawah program Briged Bomba bagi peringkat Diploma dan Pegawai Bomba Bantuan Kor Siswa bagi pengajian peringkat Ijazah di Universiti Awam,” ujarnya.

Ujarnya, perlaksanaan Pegawai Bomba Bantuan Kor Siswa UTHM sejak dari 2016 sehingga kini telah melibatkan penyertaan 2,117 penuntut dari 12 universiti awam seluruh negara tidak termasuk 67 Pegawai Bomba Bantuan Kor Siswa UTHM berjaya menamatkan latihan pada hari ini.

“Anggota Pegawai Bomba Bantuan Kor Siswa ini layak menjalankan tugas sebagai anggota bomba bantuan dengan elaun berbayar dan tempoh kerja 12 jam sehari selepas menamatkan pengajian sementara menunggu mendapatkan pekerjaan sesuai dengan pengajian dalam universiti,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here