KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) mencatat sejarah apabila berjaya menembusi kelompok 200 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027, dengan menduduki tempat ke-194 dunia.

Pencapaian itu menjadikan UM universiti pertama dari Malaysia berjaya berada dalam kelompok 200 terbaik dunia dalam ranking berkenaan.

Kejayaan tersebut menandakan peningkatan ketara kedudukan UM di peringkat global, daripada kelompok 351 hingga 400 dalam THE World University Rankings 2023, universiti ini melonjak ke kedudukan ke-194 dalam edisi 2027,

Lonjakan ini mencerminkan kemajuan berterusan dalam bidang penyelidikan, pengajaran, penglibatan antarabangsa dan kerjasama industri.

Dengan 2,297 universiti disenaraikan di seluruh dunia bagi edisi 2027, UM kini berada dalam kelompok kira-kira 8.5 peratus universiti terbaik dunia, selain mengekalkan kedudukan sebagai universiti terbaik Malaysia dalam THE World University Rankings.

Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, pencapaian itu mencerminkan kekuatan kolektif universiti selain memperlihatkan kehadiran Malaysia yang semakin kukuh dalam pendidikan tinggi global.

“Menembusi kelompok 200 terbaik dunia bukanlah garisan penamat, sebaliknya satu kenyataan tentang hasrat kami. Ia menunjukkan Universiti Malaya bergerak dengan keyakinan lebih tinggi, matlamat lebih jelas dan relevan di peringkat global yang semakin kukuh.

“Pencapaian ini adalah milik seluruh komuniti universiti dan memberikan mesej jelas bahawa universiti Malaysia mampu berdiri sebaris dengan institusi terkemuka dunia apabila cita-cita disertai disiplin, bakat dan matlamat bersama,” katanya.

Dr. Azuan berkata, UM bukan sekadar membangunkan universiti untuk mengejar kedudukan dalam ranking, sebaliknya berusaha membina sebuah universiti yang mampu memberikan impak kepada dunia.

“Di UM, kami bukan sekadar membina universiti untuk ranking. Kami membina universiti yang tidak boleh dipandang ringan oleh dunia – sebuah institusi yang menghasilkan idea untuk meningkatkan kehidupan manusia, penyelidikan yang membawa perubahan kepada masyarakat serta graduan yang bersedia memimpin dalam membentuk masa depan.

“Pengiktirafan perlu diterjemahkan kepada tanggungjawab. Kami akan menggunakan momentum ini untuk terus berusaha lebih gigih, meletakkan sasaran lebih tinggi dan memastikan universiti terulung Malaysia terus mencipta nilai untuk negara sambil mengukuhkan pengaruhnya di peringkat dunia,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Canselor, Pro-Canselor dan lembaga pengarah atas kepimpinan serta sokongan berterusan, selain kepada kerajaan dan komuniti pendidikan tinggi Malaysia dalam memperkukuh aspirasi pendidikan tinggi negara di peringkat global.

Beliau turut menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil dedikasi dan sumbangan bersama warga akademik dan profesional UM, penyelidik, pelajar, alumni serta rakan kerjasama di Malaysia dan seluruh dunia.

THE World University Rankings (THE WUR) merupakan sistem penarafan universiti berasaskan penyelidikan yang menilai prestasi universiti berdasarkan lima tonggak utama iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Tinjauan Antarabangsa.

Antara bidang terkuat UM dalam ranking 2027 ialah Tinjauan Antarabangsa dan Kualiti Penyelidikan, yang mencerminkan jaringan akademik global universiti yang semakin berkembang, komuniti antarabangsa serta pengaruh penyelidikannya yang semakin meningkat.

Prestasi UM dalam aspek Tinjauan Antarabangsa menggambarkan persekitaran akademiknya yang semakin bersifat global serta jaringan kerjasama antarabangsa yang luas apabila universiti itu terus menarik pelajar, penyelidik dan sarjana dari seluruh dunia.

Sementara itu, prestasi dalam Kualiti Penyelidikan mencerminkan jangkauan dan pengaruh hasil penyelidikan yang dihasilkan oleh sarjana UM, termasuk impak sitasi serta kekuatan keseluruhan hasil penyelidikan universiti.

Bersama prestasi dalam aspek Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan dan Industri, pencapaian tersebut menunjukkan perkembangan UM sebagai sebuah universiti penyelidikan komprehensif dengan kehadiran global yang semakin kukuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here