Mohd Amran(empat kiri) bersama-sama tetamu pada majlis perasmian Festival Kota Selatan 2026 di Dataran Segamat

SEGAMAT – Festival Kota Selatan 2026 yang berlangsung selama empat hari di Dataran Segamat berjaya mencatatkan kehadiran lebih 85,000 pengunjung.

Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor buat kali keenam itu mengatasi sasaran awal 70,000 pengunjung.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata, festival berkenaan dianjurkan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026.

Program itu bukan setakat menghimpunkan persembahan seni tradisional dan kontemporari malah menjadi wadah memperkenalkan kekayaan budaya Johor kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Menurut Mohd Amran, program bertemakan Ni La Joho!!! merupakan platform pelancongan budaya bagi mengangkat keunikan serta memperkukuh identiti budaya negeri Johor melalui pelbagai pengisian seni, budaya dan warisan.

“Pelaksanaan program ini memberikan nilai tambah kepada ekonomi negeri khususnya kepada pengusaha produk seni budaya, usahawan tempatan dan aktivis seni melalui peluang memperluaskan jaringan, mempromosikan produk serta meningkatkan potensi penjanaan pendapatan.

Sebahagian peserta yang menyertai gotong-royong memasak bubur durian pada program Festival Kota Selatan 2026

”Festival ini juga mengangkat negeri ini sebagai destinasi yang kaya dengan warisan budaya dan kesenian tradisional pelbagai kaum sekali gus memperkukuh daya tarikan pelancongan kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Festival Kota Selatan 2026 di Dataran Segamat.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Pannir Selvam.

Mohd Amran berkata, sebagai manifestasi sokongan berterusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sebanyak 19 NGO kebudayaan di negeri itu telah menerima manfaat daripada Geran Sokongan Sektor Kebudayaan berjumlah RM1,005,000.

Katanya, inisiatif itu akan terus menjadi pemangkin daya cipta penggiat seni tempatan untuk merancakkan aktiviti yang menyumbang kepada kelestarian industri kreatif negara.

Menurutnya, segala langkah dan strategi sedia ada sentiasa dipandu secara konsisten oleh Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) berfokus kepada tiga teras utama iaitu budaya nilai tinggi, pemeliharaan warisan dan penjanaan ekonomi kebudayaan demi melahirkan masyarakat Malaysia yang maju dan berbudaya.

Sebahagian peserta yang menyertai Teluk Belanga Fun Walk sempena Festival Kota Selatan 2026 di Dataran Segamat

Sepanjang festival itu, lebih 1,030 penyertaan direkodkan dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan termasuk Teluk Belanga Fun Walk, Majlis Apresiasi Perantisan Seni Muzik Kemplingan, Pertandingan Kompang Rentap Menyalu, Himpunan Pahlawan Johor, Pertandingan Inspirasi Tari Johor, Pertandingan Lagu Irama Melayu, Senam Seni serta pelbagai aktiviti komuniti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here