Gambar tapak Projek Ternakan Ikan Air Tawar secara Biofloc dibawah Projek Sejati Madani Taman Maran Damai, Maran. Sumber : Facebook Salman Al-Farisi Muhammad

MARAN – Projek Ternakan Ikan Air Tawar secara Biofloc di bawah Projek Sejati Madani Taman Maran Damai, di sini bukan projek terbengkalai.

Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang (SDO) , Datuk Razihan Adzharuddin menjelaskan bahawa projek itu berdepan kesulitan ketika pembinaan sebelum ini dan telah dimaklumkan mengenai kelewatan siap projek terbabit.

“Difahamkan dua daripada empat kolam yang telah siap. Namun perkembangannya sentiasa dalam pemantauan pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran.

“Punca asal kelewatan adalah kerana isu perolehan bekalan air, tapi dimaklumkan isu itu telah diselesaikan dan projek sudah berjalan semula,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Terdahulu, bekas Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi mempersoal perkembangan projek terbabit yang didakwa sangat perlahan meskipun setelah berbulan lamanya wang peruntukan RM100,000 disalurkan.

“Semasa saya pergi melihat tapaknya tadi, kita sama sekali tidak akan menemui papan tanda projek dan projek juga belum kelihatan beroperasi setelah berbulan wang disalurkan.

“Kemudian timbul pula persoalan tentang penggunaan tanah di belakang Balai Raya Taman Maran Damai. Apakah status tanah itu? Adakah kebenaran guna tapak telah diperoleh sebelum dana diluluskan?

“Kalau projek ini sepatutnya sudah siap, apakah tarikh siap yang tercatat dalam kelulusan?,” soalnya menerusi hantaran di laman Facebook.

Razihan bagaimanapun menjelaskan bahawa kelulusan penggunaan tapak di belakang balai raya berkenaan sudah diperoleh sebelum projek diteruskan.

Sementara itu, pihak PDT Maran ketika dihubungi memaklumkan projek yang diusahakan komuniti setempat itu dijangka siap selepas penghujung bulan Oktober ini.

“PDT dimaklumkan sudah tiada masalah untuk diteruskan. Projek ini dibangunkan komuniti, bukan seperti projek dibangunkan kontraktor.

“Komuniti perlu mendapat perolehan bahan sendiri untuk projek tersebut, jadi ia boleh mengambil sedikit masa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here