Aksi pertunjukan Pasukan Polis Marin mewarnai Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-79 Pasukan Polis Marin ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 01 OKTOBER 2026.

PELABUHAN KLANG – Pasukan Polis Marin (PPM) mengemukakan cadangan baharu bernilai RM2.283 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan 3 (RP3) bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan operasi menjaga keselamatan perairan negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd Yusri Hasan Basri berkata, ia merangkumi 19 projek termasuk 11 projek pembangunan fizikal dan lapan projek bukan fizikal.

“11 projek fizikal berjumlah RM1.555 bilion untuk pembinaan markas operasi dan taktikal PPM di beberapa lokasi strategik seluruh negara.

“Antaranya Markas Operasi PPM Wilayah 2 di Pengerang, Johor bernilai RM200 juta, Markas Operasi PPM Wilayah 4 di Kota Kinabalu, Sabah (RM230 juta) dan Markas Operasi PPM Wilayah 5 di Kuala Baram, Sarawak (RM180 juta),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bercakap kepada media selepas Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Ke-79 Pasukan Polis Marin di Markas Operasi PPM Wilayah 1 Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 01 OKTOBER 2026.

Terdahulu beliau menyempurnakan Sambutan Hari Ulang Tahun ke-79 PPM di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pulau Indah.

Beliau berkata, turut dicadangkan pembinaan Markas PPM Wilayah 2 dan Pusat Latihan Polis Marin (PULAMAR) di Tanjung Pelepas, Johor bernilai RM250 juta serta Pangkalan Operasi PPM Wilayah 4 di Kudat, Sabah bernilai RM250 juta.

“Bagi lapan projek bukan fizikal pula, ia membabitkan kos RM728.38 juta, antaranya penggantian kapal ronda, botronda serta kerja naik taraf dan pembaikan aset sedia ada,” katanya.

Menurut Mohd Yusri, permohonan baharu itu bertujuan meningkat dan memperkukuhkan kesiapsiagaan PPM dalam menghadapi ancaman serta jenayah di perairan negara.

Beliau berkata, kerajaan dimohon memberi perhatian sewajarnya terhadap keperluan pembangunan dan penggantian aset PPM.

“Ia bagi memastikan PPM terus berupaya melaksanakan penugasan penguatkuasaan secara berkesan.

“PDRM melalui Pasukan Polis Marin akan terus komited menjaga perairan negara daripada sebarang ancaman,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, tambahnya, PPM kini mempunyai 22 projek bernilai RM1.064 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, Ke-12 dan Ke-13 bagi memperkukuhkan infrastruktur serta keupayaan operasi pasukan itu.

Ujarnya, ia merangkumi pembangunan fizikal dan bukan fizikal yang berada pada peringkat pelaksanaan serta pra pelaksanaan.

“Sebanyak empat projek fizikal sedang dalam pelaksanaan bernilai RM154.86 juta, manakala empat lagi bukan fizikal dalam pelaksanaan berkaitan aset kapal dan bot, bernilai RM474.58 juta.

“Empat lagi projek fizikal pada peringkat prapelaksanaan bernilai RM22.83 juta, manakala 10 lagi bukan fizikal pra pelaksanaan bernilai RM412.11 juta.

“Antaranya pembinaan Markas PPM Tok Bali, Kelantan yang sudah siap sepenuhnya, FOB Pulau Mabul, Semporna (44 peratus) serta Markas Operasi Muar, Wilayah 2, Johor (53.71 peratus).

“Turut disenaraikan ialah kerja awalan pembinaan Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 4 di Lok Poring, Sepanggar, Sabah,” katanya.

Beliau berkata, bagi projek aset pula merangkumi perolehan dua kapal pengangkut kelas Police Transport Vessel (PTV) bernilai RM197.69 juta dan lima bot ronda kelas Fast Patrol Craft (FPC) bernilai RM99.99 juta.

“Dua kapal PTV berkenaan dijangka siap pada awal 2027, manakala lima bot ronda FPC dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun sama.

“Pembangunan berterusan itu penting bagi meningkatkan keupayaan PPM melaksanakan penguatkuasaan serta memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here