KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng secara sinis menegur Ahli Parlimen Pontian (BN), Datuk Seri Ahmad Maslan yang disifatkan begitu ‘setia’ membela bermati-matian isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga hari ini.
Malah Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kagum dengan pendirian dan kesetiaan Ahmad yang begitu taksub dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbanding segelintir pemimpin UMNO BN yang lain.
“Saya kagum dengan Pontian kerana masih berhabis-habiskan mempertahankan 1MDB dan Yang Berhomat Pekan (Najib) apabila wakil rakyat lain enggan berbuat seperti yang anda lakukan.
“Bagaimanapun, usaha ini saya lihat sebagai sangat terdesak oleh anda untuk mempertahankan 1MDB. Saya ucapkan syabas atas ketabahan untuk perjuangkan sesuatu yang telah ditinggalkan oleh semua rakan-rakan lain.
“Setia yang berhabis-habisan membela isu ini yang akhirnya merugikan rakyat sebenarnya,” katanya ketika menggulung perbahasan belanjawan Kementerian Kewangan pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Soal Guan Eng, bagaimanakah seseorang itu boleh mempercayai bulat-bulat semua kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MBD, Arul Kanda begitu sahaja.
“Bagaimana mahu percaya semua laporan-laporan ini? Kesimpulannya, tidak boleh. Semuanya telah diubah untuk kehendak serta kepentingan Najib,” dakwanya.
Guan Eng juga mendakwa ada banyak lagi pendedahan mengejutkan yang telah di dedahkan dalam kabinet sehingga mengecewakan kerajaan sekarang.
“Ada lagi pendedahan yang jauh lagi mengejutkan bagaimana Najib menipu hampir semua orang demi kepentingan peribadinya malah ada juga penglibatan pemimpin-pemimpin utama dalam negara. Tiada siapa yang tidak di tipu olehnya.
“Mengejut dan mengecewakan sebenarnya. Jauh lebih teruk dari apa yang anda semua tahu. Saya tidak mahu sebut nama-nama pemimpin ini dalam dewan. Biar pihak polis siasat semua pendedahan ini dan bawa yang sepatutnya ke muka pengadilan.
“Ketika itu biarlah Yang Berhormat terkejut dan lihat sendiri pemimpin yang diperjuangkan ini, saya tidak mahu sebut dengan lebih lanjut lagi,” tegasnya.
Bagaimanapun, Ahmad bangkit memberitahu beliau lebih rela mempercayai Arul Kanda dan Najib berbanding pendedahan oleh Guan Eng yang didakwa ‘berpusing-pusing’.
“Sudah tentu saya lebih percaya dengan Arul dan Najib. Terima kasih,” ujarnya ringkas.
Guan Eng hanya menggelengkan kepalanya dan berkata; “Biarlah si luncai (terjun) dengan labu-labunya’. –MalaysiaGazette
















