KUALA LUMPUR – Penurunan harga petrol RON95 dan diesel yang diuar-uarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) minggu lalu, masih lagi menjadi misteri.
Bagaimanapun, harga seliter bagi kedua-dua bahan api itu akan diketahui selewat-lewatnya jam 12.01 tengah malam ini.
Sebelum ini, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan RON95 pada kadar RM2.20 seliter, manakala diesel RM2.18 seliter.
Bagi petrol RON97 pada kadar RM2.50 seliter ditetapkan berdasarkan kepada harga pasaran semasa dan disemak secara bulanan sejak 1 September lalu.
Menurut maklumat dari mysumber.com/minyak-malaysia, penurunan petrol RON95 dan diesel tengah malam ini berikutan trend penurunan harga pasaran minyak dunia ketika ini.
Dengan itu, pengguna boleh menikmati perubahan harga petroleum yang lebih cepat selari dengan perubahan harga pasaran dunia.
Harga jualan runcit produk petroleum bagi petrol RON95, RON97 dan diesel yang ditetapkan KPDNHEP susulan langkah penstabilan harga minyak oleh kerajaan.
Kerajaan sebelum ini pernah melaksanakan harga petrol dan diesel secara minggu bermula 29 Mac 2017 dan telah digantikan dengan penetapan harga minyak secara bulanan yang mengikut Mekanisma Harga Automatik (APM) bermula 7 Jun lalu.
“Sebelum ini, harga petrol RON95 dan diesel diberikan subsidi, manakala RON97 ditetapkan berdasarkan kepada harga pasaran semasa dan disemak secara bulanan bermula 1 september 2018.
“Terkini, mulai tengah malam ini, harga jualan runcit produk petroleum akan dikembalikan secara mingguan menggunakan “weekly managed float system”.
“Jika harga minyak dunia terus menurun, maka harga runcit akan diturunkan setiap minggu,” kata laman web itu.
Namun, jika harga minyak dunia naik, harga RON95 dan diesel akan dikawal dan dihadkan kepada masing-masing RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter.
Pengekalan harga ini adalah sehingga pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dijalankan pada 2019 bermula tempoh satu minggu iaitu 1 hingga 7 Januari, 8 hingga 14 Januari, 15 hingga 21 Januari, 22 hingga 28 Januari, dan 29 Januari hingga 4 Februari ini. – MalaysiaGazette
















