KUALA LUMPUR – Perodua menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM20,000 secara keseluruhan serta tawaran eksklusif kepada mereka yang mengunjungi Malaysia Autoshow 2019.
Pameran itu akan diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dari 11 hingga 14 April ini.
Anjuran Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Malaysia Autoshow 2019 mempamerkan tawaran daripada pelbagai jenama automotif di negara ini.
Pengunjung yang menempah Myvi, Axia, Bezza atau Alza di acara tersebut boleh menikmati rebat khas sebanyak RM500, peluang untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga RM20,000 sepanjang empat hari atau pelbagai peranti elektronik, serta promosi ‘3 Hassle Free Bonus’, semasa pendaftaran kenderaan baharu mereka.
Promosi ‘3 Hassle Free Bonus’ merangkumi Perlindungan Aset Dijamin selama tiga tahun dan Perlindungan Kemalangan Peribadi selama tiga tahun semasa pembaharuan insurans dan/atau servis, serta baucar RM300 yang boleh digunakan untuk sebarang pembelian dan perkhidmatan di pusat servis Perodua.
“Tawaran menarik untuk produk dan perkhidmatan Perodua ini hanya boleh didapati di Malaysia Autoshow 2019,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin.
Pakej pelincir terpilih boleh didapati pada diskaun sehingga 15% dan aksesori terpilih sehingga 10%.
Koleksi GearUp yang penuh bergaya turut ditawarkan pada diskaun 10%.
Pengunjung yang membelanjakan RM150 dan lebih untuk pembelian barangan selepas-jualanboleh membawa pulang tumbler Perodua, manakala mereka yang membelanjakan RM150 dan lebih untuk membeli e-baucar akan mendapat payung Perodua, sementara stok masih ada untuk kedua-dua hadiah.
Selain itu, pengunjung yang membeli atau menempah bodykit atau pakej GearUp akan mendapat e-baucar semasa pendaftaran kenderaan baharu mereka yang ditempah bernilai RM150 untuk Myvi dan Alza, RM200 untuk Axia dan RM300 untuk Bezza. E-baucar ini boleh digunakan untuk sebarang pembelian dan perkhidmatan di pusat servis Perodua. – MalaysiaGazette
















