Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Bekas Pengerusi AirAsia Bhd., Datuk Pahamin Ab Rajab dan lima lagi rakan kongsinya dilaporkan berminat untuk mengambil alih Malaysia Airlines Bhd. (MAS).

Malah, beliau turut memberi jaminan tidak akan memberhentikan pekerja syarikat penerbangan itu sekiranya cadangan mereka untuk memulihkan semula MAS diterima kerajaan.

Menurut akhbar The Star, Pahamin menawarkan untuk mengambil alih MAS 49 peratus kepentingan dalam MAS dan 51 peratus kepentingan yang dipegang oleh Khazanah Nasional menerusi syarikat mereka, Najah Air Sdn. Bhd.

Mereka juga katanya akan melaksanakan kajian terperinci selama tiga bulan sebelum mengumumkan pelan pemulihan menyeluruh MAS.

Tiada sokongan kewangan akan diminta daripada Khazanah Nasional mahupun kerajaan bagaimanapun, Pahamin menegaskan, syarikat tersebut meminta supaya diberi hak untuk menguruskan syarikat penerbangan tersebut tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

Pahamin mengetuai kumpulan tersebut dalam pertemuan dengan Perdana Menteri minggu ini bagi menyampaikan hasrat untuk memulihkan syarikat penerbangan itu.

Bagaimanapun, beliau menafikan tawaran pengambilan alih tersebut melibatkan AirAsia ataupun Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan syarikat penerbangan tambang murah itu, Tan Sri Tony Fernandes.

Katanya, sekiranya Najah Air berjaya mengambil alih MAS, mereka akan menjadi pesaing kepada kumpulan AirAsia.

Selain Najah Air, beberapa kertas cadangan lain turut dipertimbangkan antaranya daripada bekas kakitangan Khazanah Nasional serta Jentayu Danaraksa Sdn. Bhd.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast