Keadaan Sum Bora sebelum diselamatkan dalam operasi yang mengambil masa 10 jam di Gunung Chakrai, Kemboja. Foto Agensi

PHOM PENH – Seorang lelaki Kemboja diselamatkan selepas empat hari tersepit di celah-celah batu dalam gua Gunung Chakrai semasa mengutip tahi kelawar.

Mangsa, Sum Bora tergelincir di antara dua batu pada hari Ahad lalu semasa cuba mencari lampu suluhnya, kata polis.

Bora, 28 tahun, tidak makan dan minum sepanjang tempoh itu.

Dia berjaya dikeluarkan dalam operasi 10 jam membabitkan 200 orang penyelamat.

Lelaki itu kini dirawat di hospital.

“Saya sudah hilang harapan untuk hidup dan jika ada pisau bersama, saya telah bunuh diri,” katanya seperti yang dilaporkan oleh akhbar Khmer Times.

Tahi kelawar yang dikenali sebagai guano dijadikan baja dan merupakan komoditi yang menguntungkan di Kemboja.

Dia telah ditemui oleh seorang rakannya yang selalu bersama untuk mencari tahi kelawar.

“Tubuh kami berdua kecil dan mudah masuk ke dalam laluan sempit, jadi kawan saya dapat merangkak melalui laluan lain untuk menghubungi saya di dalam gua,” katanya.

Isteri Bora, Koeun Sothea berkata, suaminya menerima rawatan di kepala, lutut dan dada.

Bagi mengelakkan peristiwa seumpama itu berlaku, polis telah mengharamkan memanjat gunung berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast