MILAN – Bintang muda Hungary, Daniel Zsori memenangi Anugerah Puskas 2019 selepas jaringannya terpilih sebagai gol terbaik pada Majlis Anugerah Best FIFA yang berlangsung awal pagi tadi.
Zsori yang kini bermain untuk kelab Hungary, Fehervar menjaringkan gol tersebut ketika menentang Ferencravos dalam saingan Liga Hungary.
Pemain berusia 18 tahun ketika itu mewakili kelab Debrecen.
Kejayaan itu sekaligus mengetepikan saingan dua lagi calon akhir lain iaitu Lionel Messi (Barcelona) dan Juan Fernando Quintero (River Plate).
Messi yang turut meraih anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA pada majlis sama menjadi pemain yang sering tersenarai dalam calon akhir bagi Anugerah Puskas yang diperkenalkan sejak 10 tahun lepas.
Namun nasib sekali lagi tidak menyebelahi kapten Barcelona tersebut sekalipun ramai pihak menjangkakan dia boleh menang hasil jaringan menariknya ketika menewaskan penjaga gol Real Betis, Pau Lopez. – MalaysiaGazette
















