Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) belum tentu akan dapat merampas semula kerajaan dari Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kalau ada dalam kalangan ahli dan pemimpin parti mendedahkan strateginya kepada pihak lawan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengingatkan perkara itu berkata, strategi perlu disimpan di dalam hati untuk kegunaan diri sendiri dan parti yang akan dilaksanakan pada hari bertanding, bukan masa ini.

“Jangan kita pandang ringan walaupun kita ada Muafakat Nasional. Jangan ditelanjangkan sangat UMNO ini. Rahsia tetap rahsia. Jangan dedahkan sangat nak buat itu nak buat ini. Jangan bagi sangat strategi kepada orang yang tidak ada strategi, simpan untuk kita.

“Nak menang kita mesti berkorban, perkasakan parti, susun strategi. Langkah kita jangan dibaca oleh orang.

“Jangan dedahkan langkah kita, strategi kita dan strategi UMNO. Jaga elok-elok, berunding elok-elok, jangan kita berbalah,” katanya menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, kemenangan empat Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti Parlimen Cameron Highland, DUN Semenyih, DUN Rantau dan Parlimen Tanjung Piai bukan kayu ukur kemenangan BN dan Muafakat Nasional pada PRU akan datang.

Katanya, mereka hendak menghadapi pilihan raya yang lebih besar, dan PRK yang dilalui sebelum ini hanya pertempuran kecil untuk parti menjalankan strategi sama ada betul atau tidak bagi berdepan dengan situasi sebenar PRU15 ini.

Beliau berkata, Muafakat Nasional juga bukan jaminan untuk UMNO, BN dan Pas hendak mengambil alih semula kerajaan kerana ia terlalu jauh.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat memberikan beberapa nasihat kepada ahli dan kepimpinan UMNO seperti membaiki sikap dan meningkatkan semangat diri.

“Yang perlu kita baiki ialah sikap dan semangat supaya perjuangan orang Melayu ini tidak ada nokhtah, dan dengan semangat juang yang tinggi juga saya yakin PH yang tidak seberapa ini akan dapat kita tewaskan dengan strategi yang baik.

“Sekarang ini pun sedikit demi sedkit kita dapat kalahkan mereka (melalui empat PRK),” katanya.

Beliau juga berharap ahli dan kepimpinan parti meneliti keadaan sekitar dan diri masing-masing serta mengambil usaha mengubah apa yang orang tidak suka kepadanya untuk meneruskan misi perjuangan yang belum selesai itu.

Kata Mohamad, dengan pembetulan dan penambahbaikan semula itu, beliau yakin BN dan Muafakat Nasional dapat memenangi PRU15, dengan beberapa perubahan yang dilakukan.

Beliau turut menyatakan, dua pendekatan yang harus dilakukan ialah memperkasakan parti dan menyusun strategi untuk menang PRU.

“Kita perlu perbetulkan walaupun kita ada Muafakat Nasional dan bergabung dengan parti lain. Jangan kita berharap sangat dengan orang, bantuan orang luar.

“Kalau kita kuat kita dapat bina kerajaan yang baik, bila kita kuat orang akan datang kepada kita,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 DISEMBER 2019.

Mengenai penyatuan ummah, Mohamad menegaskan, suara keyakinan di kalangan ahli dan pemimpin menunjukkan seolah mereka berada dalam keadaan rehat.

Katanya, UMNO telah memberikan gambaran seolah parti ‘rilek’ sangat seperti sudah ada jaminan akan beroleh kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

“Jangan. Ini bukan satu jaminan. PRK dan PRU adalah dua perkara berbeza, strategi berbeza..

“Untuk menang PRU, kita kena susun strategi dengan baik. Banyak sebab kita kalah PRU14 Mei tahun lalu disebabkan isu tempatan seperti mencantas calon.

“Bila keluar saja nama calon banyak peti undi yang dipotong. Bila keluar nama calon, banyak peti undi ditutup. Ini yang berlaku dan patut dihapuskan,” katanya yang meminta ahli menerima siapa sahaja calon dipilih pucuk pimpinan.

Beliau meminta perwakilan yang bersidang selama empat hari ini pulang ke kawasan untuk perbetulkan segala kelemahan yang ada supaya parti akan menjadi kuat, bersatu dan merampas semula kerajaan dari PH.

Katanya, bawa baliklah semangat itu, jangan terlalu seronok dan melompat-lompat kegembiraan sepanjang perhimpunan.

“Kita boleh ketawa, tapi yang penting kita jangan bersengketa sebab parti kalah kerana persengketaan.

“Buanglah sikap buruk ini. Siapa saja (calon) tidak penting, yang penting parti.. parti BN yang akan menubuhkan kerajaan pada PRU15,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Hebat Tok Mat kita nie. Jika la beliau menjadi nahkoda kapal layar UMNO, alang kah baiknya.

    Terkesan, benar dan setuju 100% bahawa UMNO perlu seorang nahkoda sahaja sebagaimana saranan Presiden.

    TETAPI perlu kepada nahkoda yg sentiasa dinampakkan “bersih” dalam segala aspek.

    Jika terdapat nahkoda atau mana2 juragan, jurumudi maupun kelasi yg menghadapi masalah dgn “kes mahkamah” – SEMESTINYA mereka yg berkenaan “direhatkan keahliannya” sehingga mahkamah membebaskannya dari apa jua pertuduhan.

    Sepatutnya UMNO mesti berani meminda undang2 tubuhnya kearah itu – agar kepimpinan parti bebas dari sebarang tomohan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Barulah nama baik parti tidak di kotak katikkan…. dan yang paling utama diterima dan dipercayai rakyat keseluruhannya.

    Cukup2 lah “berlindung” di kapal yg punyai nahkoda dan krew yg saban hari “buka pintu mahkamah”.

Comments are closed.