KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyeru rakyat bertenang dan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin negara memulihkan kerosakan yang berlaku di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Ketua Penerangannya, Mohd. Nor Hamzah berkata, dokongan dan sokongan semua pihak amat diharapkan bagi memastikan Kabinet baharu yang bakal dibentuk adalah kerajaan berintegriti, cekap dan prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab.
Di samping itu, kata beliau, DUPP secara terbuka memuji Tun Dr. Mahathir Mohamad atas penglibatannya dalam pentadbiran negara selama lebih 22 tahun selaku Perdana Menteri keempat dan ketujuh.
Sepanjang tempoh itu, pasti ada jasa beliau dalam membina negara yang tidak dapat dinafikan walaupun terdapat beberapa perbezaan dari sudut ideologi politiknya dengan Pas sama ada ketika beliau dalam UMNO mahupun PBBM.
“Dari sudut kebaikan dan persamaan dengan perjuangan Pas, kita dapat lihat beliau merupakan pemimpin yang menitik beratkan soal kepentingan Melayu dan Islam.
“Ini dapat dilihat apabila pendiriannya yang tidak bersetuju dengan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta tidak melarang himpunan mega bantahan ICERD pada 8 Disember 2018 yang lalu.
“Beliau juga serius mempertahankan bangsa Melayu dengan mengadakan Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, Selangor sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Nor, jasa Mahathir turut diiktiraf negara Arab dan negara umat Islam yang lain apabila lantang dalam isu kemanusiaan seperti krisis Bosnia Herzegovina.
Kata beliau, bekas Perdana Menteri itu juga tegas tidak mengiktiraf Yahudi atas pencabulan rejim itu terhadap bumi Palestin.
“Malah, Mahathir secara rasmi pernah dijemput kerajaan Mesir ketika pemerintahan Dr. Muhammad Morsi untuk menyampaikan ucapan berkongsi idea mengenai pelan peningkatan ekonomi.
“Sekalipun beliau ada silapnya, namun kebaikan yang ada tidak boleh kita sembunyi dan menafikannya.
“Beliau juga berusaha memperbaiki beberapa kesilapan terdahulu seperti pemberian royalti dan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh Pas,” katanya.
DUPP katanya, secara tegas menasihati Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri yang dihormati dalam dan luar negara untuk mengambil sikap tidak wajar berkompromi dengan DAP.
Ini tegasnya, parti cauvinis itu jelas membawa ideologi ektremis yang bertentangan dengan yang diperjuangkan beliau selama ini.
“Inilah ketegasan Pas, dan mengharapkan Dr. Mahathir dapat berfikir dengan matang dan terbuka hati untuk memahaminya.
“Kita berbesar hati mempelawa Mahathir turut sama memberikan sokongan padu kepada Muhyiddin yang merupakan anak didiknya ketika berada dalam UMNO mahupun PBBM,” katanya. – MalaysiaGazette
















