KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menarik balik arahan mengisi borang merentasi negeri berikutan suasana sesak di balai-balai polis kerana orang ramai ingin mendapatkan borang tersebut sebelum bergerak ke destinasi masing-masing.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, keputusan menarik semula perintah itu bagi menyelesaikan masalah kesesakan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak terbabit.
Beberapa balai polis termasuk di Shah Alam, Serdang, Sungai Besi dan Seremban diserbu oleh orang ramai malam ini bagi mendapatkan borang kebenaran merentasi negeri sebelum mereka bergerak ke destinasi masing-masing.
Keadaan itu meimbulkan kebimbangan kerana kemungkinan berlaku penularan wabak Covid-19 berikutan kawasan-kawasan seperti balai polis tidak dinyahkuman.
“Memandangkan orang awam berpendapat boleh melakukan pergerakan sekiranya mendapat kelulusan polis, maka berlakulah kesesakan yang serius di balai-balai dan juga perhentian bas.
“Walhal mereka yang benar-benar memerlukan sahaja akan mendapat kelulusan seperti berlakunya kematian ahli keluarga terdekat, sakit tenat ahli keluarga, rawatan perubatan diri sendiri atau keluarga juga lain-lain ikut budi bicara.
“Jadi langkah awal untuk bendung pula masalah ini, maka keperluan untuk mendapatkan pengecualian di bawah perintah kawalan pergerakan ditangguhkan buat sementara waktu bagi menyelesaikan kesesakan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak,” kata Abdul Hamid.
Tinjauan MalaysiaGazette di IPD Shah Alam mendapati orang ramai rata-rata terdiri daripada pelajar universiti beratur panjang untuk mendapatkan borang tersebut.
Petang tadi, Abdul Hamid mengeluarkan perintah kepada rakyat di negara ini yang ingin melakukan perjalanan antara negeri (interstate) supaya mengisi borang serta memaklumkan kepada polis tentang perjalanan mereka.
Hanya yang ‘layak’ sahaja dengan alasan kukuh sahaja akan diberikan kebenaran keluar dari satu negeri ke negeri lain, yang selebihnya perlu patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 31 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Beliau juga memberi bayangan pihaknya tidak akan teragak-agak menggunakan menggunakan kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 dalam memastikan semua pihak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. –MalaysiaGazette
















