Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof menyifatkan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong sebagai berjiwa besar apabila bersedia meminta maaf dan mengaku kesilapannya.

Katanya, beliau menerima permohonan maaf itu secara peribadi yang dikirim Nicole melalui aplikasi Whatsapp malam semalam.

“Saya ada terima permohonan maaf dari Nicole secara peribadi. Saya telah memaafkan dia dan saya beritahu dia, saya sayang dia.

“Dengan permohonan maaf ini, saya anggap faham ini berakhir,” katanya yang dipetik Harakahdaily.

Semalam, Nicole membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Siti Zailah berikutan kecamannya di Twitter kelmarin.

Ketua Pemuda MCA itu menerusi ciapan di laman sosial berkenaan mengkritik Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berhubung tips bagi menghadapi permasalahan rumah tangga yang pada pendapatnya tidak relevan untuk isteri berdiam diri terhadap suami dayus.

Disebabkan perkara itu, Nicole menyifatkan Siti Zailah sebagai tidak layak menjadi timbalan menteri susulan nasihat pemimpin Pas itu berkenaan isu hubungan rumah tangga.

Menurut Siti Zailah dalam komunikasi menerusi aplikasi Whatsapp itu, beliau turut berpesan kepada Nicole agar tidak mengulangi kesilapan itu lagi.

Nicole katanya, perlu berhati-hati dalam memberi komen terhadap sesuatu perkara yang tidak jelas dan perlu disemak dahulu sebelum membuat sebarang ulasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.