Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Kumpulan yang suatu ketika dahulu lari meninggalkan UMNO kerana parti itu kalah pada PRU-14 dan tidak lagi menjadi kerajaan, dilihat kembali muncul seorang demi seorang.

Mereka mula ‘menghimpit’ semula pemimpin dan penyokong UMNO seolah seperti tidak pernah bersalah meninggalkan parti selepas menjadi pembangkang.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, kumpulan itu kini kembali hendak bertanding merebut jawatan pada pemilihan akan datang sedangkan sebelum ini ‘melarikan diri.’

“Saya masih ingat selepas kita hilang kuasa 9 Mei 2018, ketika pemilihan UMNO ramai tidak berani menawarkan diri bertanding kerana parti sudah hilang kuasa.

“Sedangkan sebelum hilang kuasa, ramai pasang badan, cerita mengenai kesetiaan perjuangan dalam UMNO dan minta dibantu hendak bertanding pelbagai jawatan.

“Apabila sudah hilang kuasa, semua senyap seribu bahasa, malah bila ditanya kenapa tidak menawarkan diri bertanding, jawapan mereka berubah, tidak lagi berminat kerana UMNO bukan kerajaan.

“Ada dalam kalangan mereka terus melompat tinggalkan parti,” katanya dalam status Facebooknya hari ini.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Subang itu, ketika pemilihan 2018, tidak ramai berani menawarkan diri bertanding kerana antaranya, UMNO bukan kerajaan dan tiada kuasa.

Tegas beliau, kumpulan itu juga memberi alasan UMNO tidak lagi mempunyai dana dan jika menang, mereka perlu menanggung kosnya sendiri selain menganggap parti tidak lagi kembali menjadi kerajaan serta membuang masa.

Dengan itu, kata beliau, yang menawarkan diri pada pemilihan ketika itu majoritinya yang meletakkan kepentingan parti di hadapan melebihi kepentingan peribadi.

“Kerana ketika itu yang menawarkan diri majoriti tanam dalam diri mereka untuk terus membantu UMNO bangkit daripada abu kekalahan.

“Zaman 22 bulan kita jadi pembangkang, pelbagai kutukan, hinaan, caci-maki, fitnah, tikam belakang dan macam-macam lagi kita lalui dengan cekal serta tabah.

“Macam-macam pertuduhan dari mahkamah sehingga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digunakan untuk menakutkan pemimpin UMNO dan penyokongnya untuk mencipta persepsi negatif di mata rakyat,” ujar beliau.

Beliau turut bercerita, yang setia kepada parti telah bergadai, berpanas, berhujan untuk menjaga parti agar terus bangkit.

Kata Armand Azha, bukan perkara mudah menjadi pemimpin di zaman pembangkang, kerana tiada siapa mahu membantu untuk mentadbir parti daripada segi dana kerana peruntukan semua ditanggung sendiri.

Kepimpinan terus melangkah ke hadapan dengan istiqamah untuk terus perkukuhkan UMNO hari ke hari tanpa kenal penat lelah kerana sayangkan parti.

“Sehinggalah UMNO kembali diterima rakyat sedikit demi sedikit dan dalam masa 22 bulan berjaya mengukuhkan kembali parti. Pelbagai strategi disusun sehingga berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Tapi kini perasan tak, sudah muncul kembali watak, kumpulan, virus yang sebelum ini lari tinggalkan UMNO, yang tidak yakin dengan UMNO, yang 22 bulan duduk di kedai kopi bercerita zaman UMNO sudah habis, yang bangga berselfie dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Kita kena ingatkan puak ini ketika zaman kita berkuasa kita bangga, ketika zaman susah, hilang kuasa, kita setia dan taat. Kita boleh maafkan, tapi kita tidak lupa siapa mereka,” katanya.

Kata beliau, UMNO sebuah parti perjuangan dan hanya yang cekal, tabah, setia, ikhlas, berani dan istiqamah sahaja akan berjaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast