Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Siasatan perlu ditubuhkan bagi menangani isu penyelewengan, pembaziran dan pemborosan termasuk kecuaian serta kegagalan tanpa sebab munasabah, kata Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad.

Katanya, ini penting berikutan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapati berlaku permasalahan itu dalam pentadbiran kerajaan dan mesti disegerakan penubuhannya bagi mengelak daripada memberi kesan kepada kerajaan.

Beliau menyatakan, saranan itu bukan sahaja akan mengatasi masalah berkenaan, tetapi juga satu bentuk kemaskini tadbir urus semasa, sekali gus memastikan kemahiran, pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan berterusan diperkasakan.

Ini kata beliau, agar segala agenda kerajaan mencapai objektifnya, manakala setiap kelemahan, pembaziran dan kegagalan dapat dikurangkan semaksimumnya.

“Selain hal aset, perakaunan akuan dan pelaksanan perancangan, teguran LKAN mengenai kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara menuntut perhatian serius dan tindakan komprehensif dilaksanakan.

“Antara isu berkaitan adalah kelemahan dan kegagalan ketara Sistem MyIMMs.

“Dalam hanya tiga tahun telah berlaku 4,489 kali gangguan sistem milik Jabatan Imigresen Malaysia menyebabkan 214,398 warga asing didapati tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamaruzaman berkata, walaupun sistem kerap mengalami ‘downtime’ itu bersifat teknikal pengoperasian, tetapi ia bukan semata-mata menjejaskan integriti data atau rekod, paling besar adalah risiko terhadap keselamatan negara.

Menurutnya, kegagalan integrasi Sistem MyIMMs yang berurusan dengan 29 ‘patch on’ sistem lain terlalu mencurigakan, di mana membuka ruang berleluasanya pencerobohan dan kecurangan di pihak penguat kuasa.

“Ini telahpun dibuktikan bukan sahaja dari LKAN yang dibentangkan itu, bahkan dari beberapa pendedahan dan kenyataan oleh polis minggu lalu.

“Oleh itu, Pas berharap isu ini diberi perhatian untuk dibentuk tindakan keutamaan oleh kerajaan agar segala kemungkinan buruk, termasuk persepsi, kebimbangan dan ketidakyakinan awam dihentikan secepatnya.

“Kita yakin dan percaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) memiliki iltizam politik yang kuat untuk mengatasi dan menambahbaik perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast