KUALA LUMPUR – “Kenapa orang lain yang berhutang dengan FGV, saya pula yang disiasat dan dihukum supaya bercuti,” demikian luah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Berhad (FGV) kepada MalaysiaGazette.
Datuk Zakaria Arshad berkata, pada awalnya beliau terkejut dan terpinga-pinga dengan arahan agar melepaskan jawatan kerana tidak tahu apa kesalahan yang telah dilakukan.
Beliau tidak faham mengapa isu hutang syarikat Safitex diperbesar-besarkan kerana sehingga saat ini pun syarikat milik warga Afghanistan itu masih menjadi pelanggan Delima Oil Product Sdn. Bhd. (DOP).
“Akaun Safitex dengan DOP belum tutup pun. Safitex ini sudah bersama kita sejak bertahun-tahun, cuma sekarang pemiliknya terkandas di Afghanistan hampir setahun. Perkara ini pun beliau maklumkan kepada kita melalui surat rasmi.
“Pemiliknya bukan calang-calang, memiliki syarikat penerbangan, pusat beli-belah, rangkaian restoran. Dan, selama ini dia tidak ada masalah jelaskan bayaran. Tetapi sekarang dia ada masalah kerana berada di Afghanistan dan operasinya di Dubai.
“Kalau pun syarikat ini gagal bayar, FGV masih ada ruang untuk tindakan undang-undang. Kenapa pula saya yang disiasat dan dikenakan tindakan.
“Wajarkah tindakan ini dikenakan ke atas saya dan mengapa saya, bukan orang-orang lain juga?” soalnya ketika dihubungi.
Zakaria berkata, sebagai anak peneroka, tidak tergamak atau terlintas di hati kecilnya untuk menjahanam atau melihat kemungkaran berlaku dalam syarikat yang menjadi harapan kepada warga peneroka Felda.
“Saya bekerja di Felda selama 33 tahun. Imej saya bersih selama ini. Keluarga saya adalah dari Felda, denyut nadi saya adalah bersama peneroka.
“Sedetik pun tidak pernah saya mahu melihat kegagalan FGV. Sebab itu, saya pertahankan kedudukan saya untuk memastikan syarikat ini tidak dilakukan sesuka hati. Ini syarikat milik awam, bukan syarikat persendirian,” tegasnya sambil mengakui cukup terluka diperlakukan begini.
Ketika diasak dengan beberapa soalan, Zakaria berkata, secara peribadi, beliau melihat isu ini lebih kepada ‘serangan peribadi’ namun enggan mengulas lanjut.
Bagaimanapun, Zakaria menafikan dakwaan yang beliau dilantik sebagai peneraju FGV kerana ‘orang’ Tan Sri Mohd. Isa Samad.
“Saya dilantik oleh Perdana Menteri,” katanya.
Zakaria berkata, beliau sangat berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat keseluruhan organisasi FGV.
“Saya sama sekali tidak akan membuat laporan tetapi saya berharap sangat SPRM masuk dan siasat,” katanya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Zakaria berharap semua pihak mendoakan beliau.
“Mereka hendak siasat tak mengapalah. Saya berharap orang ramai mendoakan agar segala-galanya berakhir dengan baik,” ujar beliau.
Rujuk: Zakaria boleh lapor SPRM jika mahu – Isa Samad
- MalaysiaGazette
















