Toussoufa Moukoko.
JERMAN – Pemain remaja sensasi Borussia Dormund, Toussoufa Moukoko mencipta sejarah apabila disenaraikan oleh kelab gergasi Jerman itu bagi menghadapi kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21.

Moukoko, 15 tahun, tidak termasuk dalam skuad awal Dortmund ke saingan tersebut kerana faktor usia namun akan disenaraikan dalam senarai B, yang mana ia dikhaskan kepada pemain muda dan bakat ‘homeground’ apabila usianya mencecah 16 tahun pada 20 November ini.

Moukoko mencuri tumpuan pemerhati serta peminat bola sepak susulan keupayaannya menjaringkan 134 gol dalam 86 penampilan bersama Borussia Dortmund di peringkat umur bawah 17 dan 19.

Sekiranya diberikan peluang beraksi oleh Lucien Favre dalam perlawanan bertemu Club Brugge hanya berselang sehari ulang tahun kelahirannya, Moukoko bakal menjadi pemain termuda yang beraksi dalam sejarah kempen tersebut.

Ia akan memadamkan rekod yang pada ketika ini masih dipegang pemain pertahanan, Celestine Babayaro ketika menyarung jersi Anderlecht bertemu Steaua Bucharest pada usia 16 tahun 87 hari pada 1994.

Perkembangan terbaharu tentang pendaftaran melibatkan pemain remaja itu telah disahkan oleh Pengarah Sukan Borussia Dortmund, Micheal Zorc di laman web kelab itu.

”Ya, ianya memang benar. Kami akan mendaftarkan Youssoufa untuk saingan Liga Juara-Juara Eropah menerusi senarai ‘B’.”

Walaupun anak kelahiran Younde di Cameroon, Moukoko yang menyertai Borussia Dortmund dari St Pauli telah beraksi di peringkat umur 16 dan 20 tahun bersama skuad kebangsaan Jerman.

Malah, pindaan yang dilakukan Bundesliga pada 2 April lalu berhubung had umur minimum bagi seseorang pemain untuk beraksi dalam liga tersebut dari 17 tahun kepada 16 tahun telah memberikan ruang kepada Moukoko untuk mendapat peluang terbaik itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast