KUALA LUMPUR – Datuk Ahmad Jazlan Yaakob menegaskan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah kehendaknya sendiri, bukan didesak oleh pucuk pimpinan parti.
Katanya, peletakan jawatan itu yang berkuatkuasa semalam tidak dirujuk pun kepada Pengerusi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau mana-mana pihak.
“Jangan tuduh saya dipengaruhi mana-mana pihak. Saya letak jawatan sebagai Pengerusi MPOB tidak merujuk kepada Presiden parti pun.
“Kalau nak dikatakan saya digunakan pihak tertentu, ini tuduhan tidak berasas.
“Saya ada prinsip saya sendiri, ada maruah saya sendiri, yang menuduh itu ada maruah atau tidak. Kalau ada maruah, tepuk dada tanya selera,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Jazlan, beliau dan UMNO Kelantan memberi isyarat jelas kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mesti diadakan pada suku pertama tahun ini.
Ini bermakna, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan baginda membubarkan Dewan Rakyat sebelum akhir Januari ini.
“Selepas Parlimen dibubarkan, dalam tempoh 60 hari atau pada suku tahun ini pilihan raya mesti diadakan.
“Kalau tidak bubar, apa pilihan yang saya ada, melainkan meletakkan jawatan dalam parti. Saya tidak mahu jadi pemimpin ‘rubber stamp’,” katanya.
Mengenai hubungan UMNO Kelantan dengan Pas, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pihaknya telah minta dikaji semula hubungan itu.
Katanya, beliau bukan minta diputuskan, tetapi mahu dikaji semula, sekarang UMNO sudah memutuskan hubungan dengan Bersatu, sedangkan Pas masih bekerjasama dengan parti itu. – MalaysiaGazette

















Kaduk dah naik junjung. Dia sangka junjung dia kuat. Rupanya sekadar julur serai. Tak lama lagi tumbang ke tanah ler.
Bagus. Mohon PAS tetap dengan Bersatu. Banyak pembongkaran dlm kerajaan dah berlaku demi kebaikan. Jika ditadbir oleh org yang baik, kebaikkan Insha Allah yg akan datang. Kami mahu ini berterusan.
UMNO? Kasi can diorg naik junjung julur serai sekejap..