KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa ahli politik supaya tidak merosakkan bola sepak negara.
Gesaan itu dibuat Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) ketika menjawab soalan peminat bola sepak tanah air pada sesi soal jawab santai menerusi akaun Instagram Story miliknya, semalam.
“Dah merosakkan negara jangan sibuk nak merosakkan bola sepak,” kata TMJ selepas diajukan soalan apa pendapat beliau mengenai ahli politik yang mahu bertanding dalam Kongres FAM yang akan datang.
Kongres FAM ke-57 dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 13 Mac ini dan akan menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu badan induk itu.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan sedia untuk dicalonkan semula bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya itu pada pemilihan akan datang.
Hamidin berkata, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada EXCO badan induk berkenaan dan ia dibuat selepas perbincangan bersama beberapa pihak termasuk keluarga dan rakan dalam arena bola sepak.
Dalam perkembangan lain, TMJ yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menjelaskan sasaran realistik diletakkan ke atas skuad Harimau Selatan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
“Melepasi peringkat kumpulan dan berharap ke suku akhir, sasaran yang realistik. Ia sukar, tapi tiada perkara yang mustahil,” katanya. – MalaysiaGazette















