KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia tidak layak mencampuri urusan mahupun menasihati tentera Myanmar berhubung perkembangan terkini penahanan presidennya, Win Myint dan Aung San Suu Kyi.
Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebaliknya menyindir kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ubah seperti tentera Junta malah lebih awal melakukan rampasan kuasa di negara ini.
“Malaysia tidak layak bersuara terhadap rampasan kuasa di Myanmar kerana apa yang dilakukan oleh Junta lebih awal dilakukan oleh Muhyiddin dan Kabinetnya.
“Ini kerana mereka sendiri tidak menghormati mandat rakyat dalam pilihan raya. Eloklah Indonesia, Thailand yang bersuara, malah Laos pun lebih baik,” katanya menerusi ciapan terbaru di Twitter miliknya, hari ini.
Semalam, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memandang serius perkembangan terkini di Myanmar berikutan penahanan Presiden Myanmar, Win Myint dan Suu Kyi.
Kementerian Luar juga telah menghubungi tentera Myanmar dan pihak berwajib untuk memberi sepenuh keutamaan dalam memelihara keamanan di negara mereka.
Dalam pada itu, Malaysia sebagai negara jiran dan anggota ASEAN terus menyokong kepada keamanan dan kestabilan untuk kemajuan dan kesejahteraan semua. – MalaysiaGazette
















